Isnin, 17 Februari 2020 | 3:42pm

BSN peneraju utama salur geran padanan digital PKS

CYBERJAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN)  menjalin kerjasama strategik dengan SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digitial Malaysia (MDEC) untuk menyalurkan geran padanan pendigitalan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernilai RM500 juta.

Geran padanan untuk tempoh lima tahun itu adalah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Ia bertujuan memantapkan penggunaan aplikasi digital dalam operasi perniagaan PKS tempatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kementeriannya melantik BSN sebagai peneraju utama dalam kerjasama strategik untuk menyalurkan geran itu.

Beliau berkata, kerajaan akan membiayai 50 peratus daripada kos langganan dengan jumlah sehingga RM5,000 untuk PKS melanggan perkhidmatan pendigitalan bagi operasi syarikat.

"Geran padanan itu berjumlah RM500 juta untuk tempoh lima tahun dan dijangka dinikmati 100,000 PKS.

"Terdapat 42 penyedia penyelesaian teknologi (TSP) di bawah penyeliaan MDEC yang menawarkan perkhidmatan pendigitalan," katanya pada majlis kerjasama strategik BSN, Kumpulan SME Bank dan MDEC di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,  Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli dan Pengerusi BSN, Rossana Annizah Rashidi.

Guan Eng berkata, kerajaan memberi penekanan kepada pemerkasaan proses pendigitalan, khususnya untuk PKS kerana ia penting untuk memastikan syarikat tempatan mampu bersaing pada masa depan.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia, 18.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 disumbangkan oleh ekonomi digital.

Katanya, peratusan itu dijangka meningkat dan melebihi 21 peratus berbanding KDNK pada 2022.

"Sehubungan itu, saya ingin mengajak usahawan PKS untuk mengambil pendekatan serius tentang teknologi digital, dan menyertai program-program yang disediakan melalui Belanjawan 2020," katanya.

Usahawan PKS yang berminat untuk mendapatkan geran padanan itu hanya perlu melantik TSP untuk mendapatkan perkhidmatan pendigitalan, melengkap dan menyerahkan borang permohonan mereka berserta dokumen sokongan kepada bank untuk diproses, membuat bayaran kepada TSP yang dipilih, menyerahkan resit bayaran kepada BSN atau SME Bank dan Selepas itu, BSN akan membayar jumlah baki kepada TSP itu.

TSP yang berminat untuk menjadi penyedia perkhidmatan pendigitalan boleh membuat permohonan kepada MDEC selewat-lewatnya 31 Mac 2020, tertakluk kepada terma dan syarat.

Geran padanan ini terhad untuk satu  permohonan saja bagi setiap PKS dan dibenarkan untuk memohon sehingga tiga  jenis perkhidmatan pendigitalan dengan satu  atau lebih pembekal perkhidmatan pendigitalan yang berdaftar dengan MDEC.

Terdapat lima jenis perkhidmatan pendigitalan yang boleh dipilih oleh usahawan PKS membabitkan Sistem Jualan Elektronik (e-POS); Sistem Penggajian Sumber Manusia/Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM), Pemasaran Digital/Jualan, Perolehan dan Perancangan Sumber Enterpris (ERP)/Perakaunan dan Cukai.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X