Isnin, 17 Februari 2020 | 5:12pm
PENGERANG Energy Complex Sdn Bhd (PEC).
PENGERANG Energy Complex Sdn Bhd (PEC).

PEC antara kemudahan aromatik bersepadu terbesar dunia

KUALA LUMPUR: Pengerang Energy Complex Sdn Bhd (PEC) akan menjadi salah satu kemudahan aromatik dan pemisah kondensat bersepadu terbesar dunia apabila siap pada 2023, dengan kapasiti sehingga 150,000 tong sehari.

Ia akan menjana sehingga AS$5 bilion (RM20.7 bilion) pendapatan eksport tahunan untuk negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata projek berintensif modal yang membabitkan proses automasi sepenuhnya itu akan turut memanfaatkan tenaga kerja tempatan melalui pemindahan teknologi dan kepakaran teknikal syarikat.

“Syarikat merancang untuk mengambil kira-kira 200 jurutera dan kakitangan teknikal berkemahiran tinggi Malaysia yang menyediakan peluang kerjaya yang bagus serta platform pembelajaran dalam semua aspek perniagaan kimia.

“PEC sudah pasti termasuk dalam senarai kisah kejayaan pada tahun-tahun akan datang,” katanya yang mengadakan pertemuan dengan PAC pada 13 Februari lalu.

Pembinaan PEC akan bermula pertengahan tahun ini.

Pengeluaran komersial projek disasarkan bermula pada suku keempat 2023.

Projek membabitkan pelaburan AS$3.4 bilion (RM14.3 bilion) diperoleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2018.

PEC akan menerima bekalan bahan mentah daripada syarikat minyak antarabangsa utama.

Kumpulan multinasional, Maire Tecnimont S.p.A, yang juga salah satu peneraju dalam bidang kejuruteraan adalah salah satu kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X