Isnin, 17 Februari 2020 | 8:52pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng ketika sidang media selepas melancarkan Majlis Kolaborasi antara Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan SME Bank dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng ketika sidang media selepas melancarkan Majlis Kolaborasi antara Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan SME Bank dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Malaysia antara negara terawal umum pakej rangsangan

CYBERJAYA: Malaysia adalah antara negara terawal akan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bagi menangani impak penularan wabak COVID-19.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pakej rangsangan itu bagi membantu sektor terjejas untuk terus beroperasi dan mampu meraih manfaat lonjakan ekonomi jika virus berkenaan dibendung.

Katanya, pengenalan pakej rangsangan itu juga untuk mengukuhkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.

“Malaysia adalah negara yang terawal memperkenalkan pakej rangsangan. Ada pihak mengatakan kita terlalu cepat kerana belum jelas kesan COVID-19,” katanya bagi mengulas dakwaan Malaysia terlalu lambat memperkenalkan pakej rangsangan untuk menangani kesan penularan virus itu terhadap ekonomi.

Pada Jumaat lalu, Kementerian Kewangan berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini.

Pakej rangsangan itu untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat penularan COVID-19 terhadap Malaysia, sambil memelihara kebajikan rakyat.

Ia juga bukan belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020, sebaliknya bantuan akan disalurkan kepada sektor yang terkesan bagi membolehkan ekonomi negara muncul semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku selepas COVID-19 berakhir.

Mengulas sama ada Malaysia berada dalam ketakutan berdepan kemelesetan, Guan Eng berkata, Malaysia tidak berada dalam keadaan itu.

Beliau berkata, kerajaan kekal komited dalam memastikan keyakinan terhadap ekonomi negara terus kukuh.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis kerjasama strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan SME Bank dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi penyaluran geran padanan pendigitalan RM500 juta bagi syarikat kecil serta sederhana (PKS), Guan Eng berkata, penyertaan wanita dengan memegang jawatan pengurusan tertinggi dalam sektor perbankan meningkat.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) memberi peluang wanita menerajui barisan pengurusan tertinggi syarikat atau organisasi.

“Contohnya, hari ini (semalam), Rossana Annizah memulakan hari pertamanya sebagai Pengerusi BSN. Beberapa lagi jawatan pengerusi bank yang disandang wanita termasuk Datuk Zaiton Mohd Hassan (Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd) dan Datuk Mohaiyani Shamsuddin (Pengerusi Maybank).

“Ini petunjuk kita memberi peluang wanita memegang jawatan penting. Kita lihat Timbalan Perdana Menteri juga adalah wanita, Ketua Hakim Negara adalah wanita dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wanita.

“Jadi suatu hari nanti, mungkin wanita akan jadi Perdana Menteri,” katanya sambil berseloroh dan menyatakan sebelum menjadi Perdana Menteri, wanita berkenaan perlu menjadi Menteri Kewangan terlebih dulu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X