Isnin, 17 Februari 2020 | 9:28pm
MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof merasmikan perjanjian pelaburan strategik antara Commerce DotAsia Ventures Sdn Bhd dan BizApp Ventures Sdn Bhd. NSTP/Amirudin Sahib
MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof merasmikan perjanjian pelaburan strategik antara Commerce DotAsia Ventures Sdn Bhd dan BizApp Ventures Sdn Bhd. NSTP/Amirudin Sahib

'PKS dapat manfaat pakej rangsangan ekonomi'

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan ekonomi yang bertujuan untuk mengurangkan impak ekonomi luaran daripada penularan jangkitan COVID-19 akan turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama dalam sektor pelancongan dan pembuatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata PKS dalam dua sektor itu antara yang terjejas berikutan COVID-19.

“Banyak operasi usahawan kecil yang terjejas terutama dalam industri pelancongan seperti ejen pelancongan, pengendali hotel butik dan AirBnb. Kita tidak mahu mereka diabaikan.

“Selain itu, sektor pembuatan juga turut terkesan kerana ada negara yang terlibat dengan Covid-19 ini terpaksa membuat penutupan sementara kilang, di mana barangan mereka sepatutnya diimport ke Malaysia untuk ditambah nilai di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran perjanjian pelaburan strategik antara Commerce DotAsia Ventures Sdn Bhd dan BizApp Ventures Sdn Bhd di sini, hari ini.

Walaupun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pakej rangsangan ekonomi itu, katanya pada dasarnya, kerajaan mahu syarikat itu terus hidup dan kekal mampan.

Beliau berkata, pakej rangsangan itu akan turut membantu industri bersedia kepada peningkatan dalam ekonomi apabila penularan itu berkurangan dengan memastikan syarikat berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk membawa perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini.

“Kita sedang memperhalusi dan mendapat konsultasi pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, agensi-agensi perniagaan dan sebagainya untuk mengenal pasti jumlah syarikat yang terlibat dan jenis suntikan yang diperlukan.

“Selain itu, kerajaan juga sedang membincangkan langkah-langkah alternatif yang boleh diambil, misalnya, memberikan pelepasan cukai atau memberi bantuan untuk memastikan tiada pemberhentian pekerja berlaku,” kata Mohd Redzuan.

Mengulas mengenai acara hari ini, katanya perjanjian pelaburan strategik antara Commerce.Asia dan BizApp adalah konsep yang ingin dipromosikan oleh kerajaan, di mana sektor swasta akan menerajui dalam membangunkan ekosistem e-dagang di negara ini.

Dilancarkan oleh Pengasas Hasnol Mizam Hashim dan Mohd Taib Pardi pada 2017, BizApp adalah platform yang banyak digunakan oleh perniagaan dan jenama tempatan untuk menguruskan operasi perniagaan harian mereka, termasuk pengurusan pesanan dan memenuhinya, terutamanya oleh perniagaan berasaskan ejen di Malaysia.

BizApp kini mempunyai lebih 200,000 ejen, majoritinya adalah Bumiputera yang berpusat di kawasan luar bandar.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X