Selasa, 18 Februari 2020 | 11:57am
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto Reuters
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto Reuters

Ekonomi Korea dalam situasi kecemasan - Presiden Moon Jae-in

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata, kerajaan harus berusaha keras untuk meredakan impak ekonomi daripada penularan COVID-19, sekali gus meningkatkan jangkaan pelaksanaan pelonggaran dasar monetari selanjut di republik itu.

"(Kerajaan) tidak boleh berdebat mengenai perkara belum pernah berlaku atau tidak, kita harus mengambil setiap langkah perlu yang boleh kita fikirkan untuk dilaksanakan," kata Jae-in dalam mesyuarat kabinet.

COVID-19 yang pantas menular telah mengganggu rantaian bekalan dunia dan aktiviti perniagaan, menjejas pertumbuhan global serta permintaan barangan Korea Selatan.

Jae-in berkata, ekonomi dalam situasi kecemasan dan memerlukan rangsangan untuk melonjakkan permintaan domestik.

Bon kerajaan Korea Selatan bertempoh 3-tahun melonjak tinggi selepas kenyataan Jae-in. Ia susulan spekulasi kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan yang mana juga termasuk penurunan kadar faedah. Bank of Korea (BOK), dijadual bermesyuarat pada 27 Februari ini.

Pada Januari, BOK mengundi 5-2 untuk mengekalkan kadar penanda aras pada 1.25 peratus, iaitu pada mesyuarat kedua selepas menurunkan kadar pada Julai dan Oktober tahun lalu.

Komen Jae-in menambah tekanan kepada bank pusat untuk menyokong dasar kerajaan menjelang pilihan raya umum pada 15 April ini. - Reuters

Berita Harian X