Khamis, 27 Februari 2020 | 8:39pm
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed. - Foto Surianie Mohd Hanif
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed. - Foto Surianie Mohd Hanif

'Pakej rangsangan luar jangkaan'

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion diumumkan kerajaan mengatasi jangkaan pasaran dan disifatkan pakej menyeluruh yang mampu memberi kesan gandaan positif kepada ekonomi makro negara, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan itu adalah langkah fiskal mengembang bagi memastikan kestabilan ekonomi makro kekal utuh dan keyakinan pelabur asing dan tempatan terhadap ekonomi negara ini kekal kukuh.

Beliau berkata, pengumuman tiga strategi dengan menumpukan dalam menangani impak COVID-19; memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti mampu memberi petunjuk positif kepada peserta pasaran.

“Pada pandangan saya, ini adalah baik untuk ekonomi 2020. Permulaan yang sihat untuk menangani cabaran luaran untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau turut kekal optimis ekonomi Malaysia akan berkembang kukuh dengan unjuran 4.4 peratus hingga 4.9 peratus tahun ini.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pakej rangsangan yang diumumkan itu lebih menyeluruh berbanding apa yang dilaksanakan Singapura dan Hong Kong.

Malah, beliau berkata ia mengatasi jangkaan kerana setiap aspek bantuan diteliti dan dipastikan untuk memberi impak kepada individu, peniaga, peserta industri dan negara secara keseluruhannya.

“Sebagai contoh, bantuan RM20 bilion melebihi bantuan yang diperuntukkan oleh Singapura.

“Di Hong Kong, walaupun mereka memberi HK$10,000 kepada setiap individu, ada kemungkinan ia tidak akan dibelanjakan berbanding kita yang memberikan baucer pelancongan bernilai RM100.

“Malah, tidak melupakan golongan B40 yang amat memerlukan bantuan tunai dengan tambahan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM150 lagi,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, saiz pakej rangsangan RM20 bilion itu mengatasi jangkaan pihaknya yang mengunjurkan sekitar RM15 bilion.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan bagi setiap RM1 yang dibelanjakan akan menghasilkan kesan gandaan sebanyak RM4.50 kepada output dengan andaian faktor lain tidak berubah.

“Justeru, pakej rangsangan fiskal ini adalah sangat ketara bagi menyuntik keyakinan di dalam ekonomi negara, yang mana peniaga dan isi rumah dijangka akan berhati-hati dalam perbelanjaan mereka dalam keadaan ekonomi semasa ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin juga mengakui pakej rangsangan RM20 bilion itu lebih komprehensif dari dijangkakan dengan penumpuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pertumbuhan pelaburan awam dan swasta.

Beliau berkata, ia lebih pro-perniagaan dengan terarah meningkatkan keyakinan pelabur dan pengguna, sama ada domestik dan antarabangsa untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi negara pada masa depan.

“Sektor yang disasarkan adalah dijangka, seperti pelancongan dan perbelanjaan swasta, dan sektor penerbangan. Kesan pengganda akan dijana terutamanya dalam sektor pelancongan, yang menjadi fokus utama pakej rangsangan ini,” katanya.

Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata walaupun pakej rangasangan ini akan menyebabkan kadar defisit fiskal negara meningkat, ia adalah satu langkah yang penting dan amat diperlukan buat masa kini.

“Kami berpendapat bahawa kerajaan masih mempunyai ruang fiskal untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi ini kerana nisbah hutang ke Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah pada kadar 52.5 peratus.

“MIDF Research juga berpendapat bahawa pakej rangsangan ini tepat pada masanya bagi menyokong ekonomi negara dan memastikan ia dapat berkembang pada paras lebih daripada 4.0 peratus tahun ini,” katanya.

Berita Harian X