Isnin, 9 March 2020 | 8:01pm
Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz. - NSTP/Faiz Anuar
Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz. - NSTP/Faiz Anuar

PDAM cadang kerajaan perkenal harga lantai petrol, diesel

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan pengenalan harga lantai untuk produk runcit petrol dan diesel yang boleh menjadi mekanisme yang menguntungkan pengguna, kerajaan dan pengusaha stesen minyak.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata menerusi pengenalan harga lantai itu, sebarang hasil kutipan daripada kejatuhan mendadak harga minyak dunia yang mana turut mempengaruhi harga runcit petrol dan diesel dapat disimpan untuk kegunaan masa depan.

Katanya, sebagai contoh mengambil situasi semasa yang mana harga minyak dunia jatuh ke paras AS$35 setong, harga petrol RON 95 sepatutnya berada pada harga RM1.32 seliter berbanding RM1.89 seliter pada masa ini.

“Daripada menurunkan harga 57 sen seliter ini, kerajaan boleh menurunkan hanya lima atau 10 sen seliter sahaja, selebihnya disimpan kerajaan dan digunakan sebagai subsidi ketika harga minyak dunia melonjak naik ke paras yang lebih tinggi pada masa hadapan.

“Pada masa sama, pengusaha stesen minyak juga tidak terkejut dengan penurunan mendadak ini dan masih mampu untuk menyerap kerugian daripada penurunan itu kerana tidak membabitkan kos yang besar,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Jelasnya, industri stesen minyak bakal berdepan risiko kerugian sehingga RM150 juta sekiranya kerajaan menurunkan harga runcit komoditi itu sebanyak 57 sen seliter sekali gus dan boleh menyebabkan banyak stesen minyak kecil untuk ditutup.

“Pendapatan kami dalam sekitar 10 sen hingga 15 sen seliter, jika penurunan atau kenaikannya dalam lima sen sebagai contoh, operasi kami tidak akan berapa terkesan. Ia juga lebih adil kerana naik turun harga adalah stabil dan tidak terlalu besar jurangnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan pada masa ini hanya memperkenalkan harga siling untuk petrol RON95 dan tiada untuk harga siling.

“Secara teorinya jika tiada harga lantai dan harga minyak dunia kekal rendah, maka harga runcit untuk produk petrol akan turut sama turun.

“Berbalik kepada isu ini, memang perlulah untuk ada mekanisme yang boleh memberi keperluan kepada pengguna dan keuntungan pengusaha stesen minyak,” katanya.

Berita Harian X