Khamis, 26 March 2020 | 5:14pm
Maybank cawangan Jalan Genting Klang. NSTP/MUSTAFFA KAMAL
Maybank cawangan Jalan Genting Klang. NSTP/MUSTAFFA KAMAL

Sektor perbankan kekal mantap meskipun tangguh bayar pinjaman

KUALA LUMPUR: MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan pendirian positifnya terhadap sektor perbankan susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam nota penyelidikannya, MIDF berkata, langkah itu memberi kelonggaran kepada bank untuk bertindak dengan cepat berdasarkan penampan kewangan yang besar telah dibina selama ini.

Bank pelaburan itu berpendapat, langkah oleh BNM itu untuk menyokong ekonomi sebenar dengan memberi penangguhan kepada peminjam semasa dan menggalakkan pinjaman.

“Memberi penangguhan kepada peminjam secara tidak langsung memastikan kualiti aset bank kekal stabil.

“Langkah ini juga akan menggalakkan aktiviti pinjaman berikutan bank tidak perlu bimbang mengenai tunggakan dan kemerosotan yang menjejaskan keuntungan dan kerugian (P&L) serta modal mereka.

“Pinjaman akan turut digalakkan melalui peruntukan mudah tunai yang mencukupi kepada sistem,” katanya.

MIDF berkata, moratorium dan langkah selanjutnya kepada akaun tersebut memberi kelegaan bukan hanya kepada peminjam tetapi juga bank.

Firma penyelidikan melihat penangguhan pembayaran akan memberi kesan kepada bank dalam dua cara - melalui pendapatan dan peruntukan.

“Ia akan memberi kesan kepada pendapatan faedah bersih bank, dan kita tidak sepatutnya melihat ini sebagai kehilangan pendapatan.

“Kita perlu menjangka untuk menyaksikan pendapatan faedah bersih yang rendah pada suku-suku tahun apabila penangguhan pembayaran dilakukan. Selain itu, faedah masih terakru.

“Impak kedua ialah ke atas peruntukan berikutan akaun di bawah moratorium dijangka akan diklasifikasikan sebagai akaun yang dijadualkan semula dan distruktur semula (R&R), yang perlu diklasifikasikan sebagai terjejas. Ini akan memberi kesan kepada P&L bank melalui peruntukan,” katanya.

Bagaimanapun, MIDF berkata ia yakin BNM akan memberi kelonggaran kepada bank berikutan akaun moratorium dijangka tidak akan dianggap sebagai akaun R&R, memastikan kos kredit tidak akan meningkat, yang akan mengurangkan kualiti aset bank daripada merosot.

“Kami yakin langkah-langkah ini positif kepada sektor perbankan berikutan ia menangani isu kualiti aset dan mudah tunai, dan kepada tahap tertentu kos dana. Ia memberi kelegaan kepada bank.

“Kami yakin ini akan memastikan keuntungan bank akan kekal utuh walaupun menghadapi cabaran semasa. Oleh itu, kami mengekalkan pendirian positif kami ke atas sektor ini,” menurut MIDF.

Katanya pilihan utamanya kekal Maybank dengan harga sasaran (TP) pada RM9.55, CIMB (TP: RM5.70) dan Public Bank (TP: RM19.00). – Bernama

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X