Khamis, 26 March 2020 | 6:48pm

Jualan telefon pintar global susut pada Februari

SHANGHAI: Jualan telefon pintar global susut 14 peratus pada Februari ekoran penularan COVID-19 di China dan luar negara.

Menurut Counterpoint Research, kejatuhan itu mungkin lebih teruk selepas pandemik itu semakin buruk di beberapa bahagian di dunia.

Wabak itu turut mendorong Apple Inc dan pembuat telefon pintar lain menutup cawangannya di China pada Februari.

Data kerajaan juga menunjukkan Apple menjual kurang daripada 500,000 unit telefon pintar di pasaran tanah besar China pada bulan berkenaan.

China, yang memperlihatkan kejatuhan 38 peratus pada Februari berbanding tahun sebelumnya kini menunjukkan tanda pemulihan dengan kebanyakan kedai dibuka semula pada pertengahan Mac.

Terdapat juga tanda pemulihan di Korea Selatan, tetapi bagi bahagian lain di dunia masih berdepan kesan buruk,” kata Penganalisis Kanan Counterpoint, Jean Park.

Pengeluar telefon pintar berdepan dengan gangguan rantaian bekalan selepas kebanyakan negara melaksanakan perintah berkurung.

Selasa lalu, Foxconn, antara pembekal utama Apple, berkata ia akan menggantung operasinya di India bagi mematuhi perintah kerajaan. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X