X
Khamis, 26 March 2020 | 7:59pm
Gambar fail, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hong Leong Bank Bhd, Domenic Fuda. - Foto Amirudin Sahib
Gambar fail, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hong Leong Bank Bhd, Domenic Fuda. - Foto Amirudin Sahib

COVID-19: Persatuan Bank derma RM10 juta perangi COVID-19

KUALA LUMPUR: Ahli Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) secara bersama menyumbang dana berjumlah sehingga RM10 juta untuk membantu negara dalam menangani ancaman penularan COVID-19.

Malayan Banking Bhd (Maybank) menyumbang RM2.5 juta; Alliance Bank Malaysia Bhd (RM500,000); AmBank (M) Bhd (RM500,000); CIMB Bank Bhd (RM1.0 juta); Hong Leong Bank Bhd (RM1.0 juta); HSBC Bank Malaysia Bhd (RM1.0 juta); OCBC Bank (Malaysia) Bhd (RM500,000); Public Bank Bhd (RM1.0 juta); RHB Bank Bhd (RM1.0 juta); Standard Chartered Bank Malaysia Bhd (RM500,000) dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (RM500,000).

ABM berkata, pihaknya bekerjasama dengan MERCY Malaysia untuk menyalurkan dana itu khusus untuk persediaan kritikal, kesediaan dan tindakan sokongan tindak balas untuk Kementerian Kesihatan dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Katanya, ia juga untuk sokongan bekalan operasi dan logistik; sokongan dan logistik kehidupan komuniti berisiko; kesihatan mental dan sokongan psikososial; dan pengurangan risiko epidemik/pandemik.

“Ahli ABM sedar bahawa perlu ada bekalan dan peralatan perubatan yang mencukupi semasa kecemasan yang sangat penting ketika menyediakan langkah kritikal dan menyelamatkan nyawa yang terjejas oleh COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hong Leong Bank Bhd, Domenic Fuda, berkata pihaknya berharap sumbangan terkumpul itu akan meredakan sedikit tekanan yang dihadapi profesional kesihatan dan komuniti yang terjejas oleh wabak COVID-19.

Beliau berkata, kumpulan perbankan itu berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam usaha bersama industri dan berharap usaha itu akan meringankan beban sistem perubatan dan profesional barisan hadapan kesihatan yang menjaga komuniti tanpa mengira penat lelah bagi memastikan rakyat Malaysia disediakan dengan sokongan mencukupi dalam tempoh sukar itu.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne, berkata pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan ABM bagi menderma RM1 juta kepada MERCY Malaysia untuk pembelian alat perubatan yang sangat diperlukan yang mana akan memberikan kelegaan kepada rakyat.

“Kami membuat sumbangan ini bagi pihak pelanggan dan pekerja kami dan mendoakan semua orang yang terbabit dengan COVID-19 cepat sembuh,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pihaknya menyumbang RM1 juta kepada MERCY Malaysia, menerusi ABM untuk tujuan perolehan rawatan kesihatan dan peralatan perubatan segera serta keperluan lain yang diperlukan oleh hospital dalam menguruskan wabak Covid-19.

“Kami berharap sumbangan kami akan memberi perbezaan kepada semua hospital yang terbabit, bersama-sama dengan semua pasukan barisan depan dalam menyediakan mereka sumber yang cukup untuk membantu memerangi COVID-19,” katanya.

Sementara, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata kumpulan perbankan itu menyumbang RM1 juta dan berharap sumbangan gabungan dana oleh bank komersial itu akan dapat membantu MERCY Malaysia dalam memerangi COVID-19.

ABM yang kini dianggotai 26 bank itu berkata, dana RM10 juta yang dikumpulkan di bawah inisiatif persatuan itu tidak termasuk sumbangan individu yang diumumkan oleh sesetengah ahlinya sebelum ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X