Jumaat, 27 March 2020 | 7:08pm
PRIHATIN belanjawan luar biasa kerajaan untuk lindungi ekonomi negara
PRIHATIN belanjawan luar biasa kerajaan untuk lindungi ekonomi negara

PRIHATIN mampu kekalkan pertumbuhan ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berupaya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi untuk berdepan persekitaran yang mencabar susulan impak penularan COVID-19, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata PRIHATIN adalah manifestasi strategik kerajaan yang menepati golongan sasaran, menyeluruh dan berpaksikan kepada rakyat.

“Insentif yang diumumkan adalah tepat pada masanya dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata PRIHATIN adalah satu belanjawan luar biasa yang pernah diumumkan kerajaan.

Beliau berkata, semua ejen dalam ekonomi menerima kesannya, iaitu daripada isi rumah, pengguna, peniaga malahan sektor awam serta swasta.

Pakej ekonomi berjumlah RM250 bilion ini, katanya dijangka meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi dalam masa Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) dan juga selepas daripada itu.

“Selain itu, ia juga mengurangkan beban rakyat akibat impak COVID-19 ini. Kerajaan juga begitu berhemah dalam melaksanakan dasar fiskal ini dengan pada masa sama mengambil kira aspek konsolidasi fiskal.

“Antara langkah atau strategi yang menarik perhatian ialah Bantuan Prihatin Nasional. Ini penting sebagai ‘pelincir’ kepada ekonomi Malaysia pada ketika ini.

“Ini bagi memastikan ekonomi negara terus berjalan dalam keadaan suram yang kita hadapi pada ketika ini,” katanya kepada BH.

Ditanya adakah kerajaan mempunyai dana mencukupi dalam membiayai pakej rangsangan terbesar itu, Irwan berkata negara mempunyai aset dan rizab yang tinggi selain negara juga boleh berhutang.

Beliau berkata, pada masa akan datang, kemungkinan dalam Belanjawan 2021, kerajaan boleh memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan meningkatkan pelaburan menaikkan lagi aset dan rizab sedia ada.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pakej PRIHATIN nampak seperti belanjawan tahunan kerajaan.

Beliau berkata, jumlah yang diperuntukkan iaitu RM250 bilion melebihi dari jangkaan hasil kerajaan persekutuan pada 2020 sebanyak RM244.6 bilion.

“Secara keseluruhannya, pakej ini jelas memastikan tiada pihak atau individu yang terlepas daripada diberi segala bantuan oleh kerajaan di saat situasi yang getir pada masa ini,” katanya.

Berita Harian X