Ahad, 5 April 2020 | 12:10pm
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP

Firma insurans dicadangkan bayar balik belanja ujian COVID-19 pesakit

KUALA LUMPUR: Industri insurans perlu mempertimbangkan untuk membuat pembayaran balik kepada pesakit untuk ujian COVID-19, terutamanya bagi mereka yang menjalani rawatan dan prosedur di hospital swasta.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata pada masa ini syarikat insurans enggan memberikan pembayaran balik untuk ujian COVID-19 jika kemasukan ke hospital tidak berkaitan dengan pandemik itu.

“Hospital dan doktor bimbang jika ujian ini tidak dilindungi oleh insurans, akan terdapat potensi risiko kepada pesakit dan petugas penjagaan kesihatan. Kami merayu kepada industri insurans untuk mengambil perkara ini dengan serius untuk melindungi pelanggan mereka dan petugas penjagaan kesihatan.

“Kami berharap seperti industri lain, syarikat insurans akan memberi kelonggaran kepada beberapa norma mereka dari segi ujian COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kuljit berkata pada masa ini, kos ujian COVID-19 antara RM300 dan RM600 di kebanyakan hospital swasta.

“Ia jumlah yang kecil tetapi hasil yang berpotensi boleh menjadi penting,” katanya. - Bernama

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X