Rabu, 20 Mei 2020 | 1:53pm
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

Malaysia dijangka tidak alami deflasi dan stagflasi

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka tidak berdepan senario deflasi atau stagflasi, disokong langkah yang dilaksanakan kerajaan dengan membuka semula kebanyakan aktiviti ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sukar untuk Malaysia terjerumus ke dalam senario berkenaan kerana ekonomi Malaysia kini sedang menunjukkan pemulihan dengan keseimbangan antara asas ekonomi adalah semakin baik.

"Apabila kerajaan membuka semula ekonomi dengan kebanyakan perniagaan beroperasi semula, ia menyaksikan sektor pekerjaan pulih semula. Apabila adanya pendapatan, maka penjanaan ekonomi dalam kebanyakan sektor akan berlaku.

"Deflasi atau stagflasi tidak boleh diukur dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menyusut secara bulanan kerana apa yang berlaku pada April adalah lebih kepada penurunan indeks berkaitan bahan api," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada sesi pengumuman IHP Malaysia bagi April secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan akan berlakunya deflasi dan stagflasi dengan hanya merujuk kepada data bulanan, sedangkan Malaysia kini dalam fasa pemulihan ekonomi.

"Industri yang terjejas dengan COVID-19 iaitu pelancongan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membuat promosi harga rendah produk mereka. Itu hanya satu contoh, kita juga dapat lihat peningkatan dalam sektor makanan dan kesihatan.

"Berdasarkan perkembangan semasa, kita tidak boleh mengatakan Malaysia menuju ke arah itu (deflasi dan stagflasi). Stagflasi sebagai contoh adalah sesuatu yang serius dan semua negara mahu elak.

"Saya yakin dengan gerakan semula aktiviti ekonomi yang mewujudkan pendapatan dan kuasa beli, ia akan merapatkan jurang antara permintaan dan penawaran sebagai asas kepada ekonomi. Saya jangka stagflasi tidak akan berlaku," katanya.

IHP, yang mengukur kadar inflasi negara menguncup 2.9 peratus pada April kepada 117.6 berbanding 121.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kadar perubahan terendah yang dicatatkan sejak 2010.

Penurunan IHP keseluruhan itu telah didorong oleh penurunan indeks kumpulan Pengangkutan (-21.5 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-2.2 peratus) yang menyumbang 14.6 peratus dan 23.8 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, purata harga RON95 yang lebih rendah pada April 2020 iaitu RM1.27 per liter berbanding RM2.08 pada April 2019 menyumbang kepada perubahan negatif indeks Pengangkutan dan indeks keseluruhan.

Bagi perbandingan bulanan, IHP turut menguncup 2.7 peratus berbanding Mac 2020.

Penurunan disumbangkan oleh Pengangkutan (-13.5 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.8 peratus).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga April 2020 menguncup 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X