Rabu, 20 Mei 2020 | 2:00pm
Pengimport utama India mengikat kontrak pembelian 200,000 tan minyak sawit mentah dari Malaysia
Pengimport utama India mengikat kontrak pembelian 200,000 tan minyak sawit mentah dari Malaysia

India beli semula sawit Malaysia, saham perladangan meningkat

KUALA LUMPUR: Kaunter perladangan, diterajui oleh Rimbunan Sawit adalah antara saham paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan bahawa India kembali membeli minyak sawit Malaysia selepas dihentikan selama empat bulan berikutan pertikaian diplomatik.

Pada 11.06 pagi, saham Rimbunan Sawit meningkat setengah sen kepada 31.5 sen dengan 103.81 juta saham diniagakan, manakala TDM tidak berubah pada 27 sen dengan 100.03 juta saham bertukar tangan.

Boustead Plantations menokok satu sen kepada 35.5 sen dengan 43.77 juta saham diniagakan dan FGV naik dua sen kepada RM1.05 dengan 41.74 juta saham didagangkan.

Semalam, Reuters melaporkan India membuat keputusan membeli semula minyak sawit dari Malaysia berikutan hubungan perdagangan yang semakin baik antara kedua-dua negara selepas pembentukan kerajaan baharu.

Malah, Malaysia menandatangani perjanjian untuk membeli 100,000 tan beras dari India pada minggu lalu.

"Pada minggu lalu, pengimport utama India mengikat kontrak pembelian 200,000 tan minyak sawit mentah dari Malaysia selaku pengeluar kedua terbesar dunia selepas Indonesia untuk dihantar pada Jun dan Julai," menurut laporan itu yang memetik sumber.

-BERNAMA

Berita Harian X