X
Khamis, 21 Mei 2020 | 12:09pm
India adalah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia pada 2019
India adalah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia pada 2019

Import daripada India perkukuh harga minyak sawit

PUTRAJAYA: Keputusan India mengimport semula minyak sawit mentah (MSM) daripada Malaysia dijangka mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata kerajaan komited untuk menjaga hubungan baik dengan kerajaan India bagi meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan kedua-dua negara.

Beliau berkata, perkembangan hubungan diplomatik kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi Jun dan Julai 2020, yang mana situasi itu dijangka memberikan impak positif terhadap industri sawit dan ekonomi negara.

Katanya, industri sawit negara memberikan pendapatan kepada hampir 500,000 pekebun kecil sawit termasuk kira-kira 258,000 pekebun kecil persendirian.

Justeru, tegasnya hubungan ini perlu supaya kepentingan kedua pihak dapat dipelihara dan rakyat dapat menikmati hasilnya.

"Semoga perkembangan terbaharu ini, India akan terus mengimport minyak sawit Malaysia bagi memenuhi keperluan minyak sayuran dan lelemak negara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

India adalah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia pada 2019 dengan sebanyak 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berjumlah RM9.8 bilion.

Jumlah eksport itu meningkat kira-kira 67 peratus berbanding 2018 dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan.

Bagaimanapun, beberapa siri peristiwa mencetuskan trend kejatuhan mendadak dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India, dengan sepanjang suku pertama 2020, kebanyakan import minyak sawit oleh India adalah daripada negara pengeluar lain.

Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada Januari-April 2020 menunjukkan penurunan drastik hampir 94 peratus kepada 96,145 tan, berbanding 1.6 juta tan pada tempoh sama 2019.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) giat berusaha sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan beberapa siri rundingan secara maya untuk menarik pengimport dari India agar membeli minyak sawit Malaysia.

Perubahan pendirian kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis juga membantu peningkatan import oleh negara itu.

Berita Harian X