Khamis, 17 Ogos 2017 | 8:18pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pertumbuhan diunjur 5.8-5.9 peratus pada Q2

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.8 dan 5.9 peratus dalam suku kedua, kata Affin Hwang Asset Management Bhd.

Ketua Pendapatan Tetap, Esther Teo, berkata unjuran itu disokong oleh banyak data ekonomi yang menuju kepada angka pengeluaran sebenar yang menunjukkan kenaikan, manakala eksport termasuk penggunaan domestik mencerminkan kemantapan.

"Sektor elektrik dan elektronik dijangka mengembang, di mana kami menyaksikan sub sektor menokok sehingga 8.3 peratus dari tahun ke tahun pada bulan Jun, penurunan dalam nilai ringgit telah menyebabkan banyak syarikat teknologi memulakan semula pengeluaran mereka di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku kedua, esok.

Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih cepat iaitu sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, prestasi terbaik sejak suku yang sama tahun 2015, yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.8 peratus.

Teo ketika mengulas mengenai prospek baki suku seterusnya, berkata perbelanjaan penggunaan pengguna kelihatan amat positif berikutan kedatangan musim perayaan seperti Deepavali, Krismas dan cuti panjang persekolahan yang akan bermula pada bulan November.

Penggunaan swasta, yang meningkat sebanyak 6.6 peratus pada suku tahun pertama 2017, akan terus kekal sebagai pemangkin ekonomi terpenting, bersama-sama dengan eksport.

Teo berkata, Bajet 2018 akan berbentuk pragmatik yang mengandungi pemacu pertumbuhan tanpa mengabaikan fiskal berhemat serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, dengan pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi, kami tidak menolak kemungkinan wujudnya langkah populis seperti tambahan peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), rumah mampu milik dan bonus untuk penjawat awam," katanya lagi.

- BERNAMA

Berita Harian X