Jumaat, 18 Ogos 2017 | 3:44pm

Ekonomi suku kedua: Malaysia catat pertumbuhan luar jangkaan

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia, seperti yang diukur melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2017, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang kukuh khususnya perbelanjaan sektor swasta serta peningkatan eksport.

Prestasi cemerlang itu adalah pertumbuhan suku tahun tertinggi dicatatkan sejak suku pertama 2015, sekali gus mengatasi unjuran purata penganalisis dan ahli ekonomi.

Ia juga membolehkan ekonomi Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini berkembang sebanyak 5.7 peratus, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama lalu.

Pada suku kedua 2017, penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.1 peratus disokong oleh peningkatan upah sektor swasta dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan yang menggalakkan.

Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan dengan pembinaan muncul sebagai sektor ekonomi paling pesat berkembang, dengan mencatatkan pertumbuhan 8.3 peratus pada suku kedua.

Sektor ekonomi lain iaitu perkhidmatan, perkilangan dan pertanian juga mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh pada suku kedua 2017, manakala pertumbuhan sektor perlombongan adalah sederhana disebabkan oleh pengurangan dalam pengeluaran minyak mentah.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim, berkata prestasi cemerlang ekonomi negara pada enam bulan tahun ini membolehkan kerajaan dan bank pusat menyemak semula unjuran pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia untuk 2017 yang sebelum ini ditetapkan antara 4.3 hingga 4.8 peratus.

Unjuran yang disemak semula itu, katanya akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, Oktober ini.

"Kami di BNM sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan) dan unjurannya sudah pasti melebihi 4.8 peratus," katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku kedua Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata pertumbuhan pekerjaan dan gaji yang stabil, pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan permintaan luar yang berterusan akan menyokong asas ekonomi negara menuju ke hadapan.

"Prospek pertumbuhan akan terus dipacu oleh permintaan domestik dengan sebahagiannya mendapat sokongan daripada eksport," katanya sambil menambah asas ekonomi yang mantap dan berdaya tahan akan membolehkan Malaysia menyerap semua cabaran semasa.

Beliau menjangkakan perbelanjaan domestik dan eksport akan terus meningkat pada separuh kedua 2017, namun memberikan amaran sentiasa terdapat risiko berkaitan faktor luaran.

"Kami akan mengambil kira semua perkara ini," katanya.

Mengenai eksport, Muhammad berkata sektor ekonomi berkenaan menyaksikan pertumbuhan meluas dalam sektor pembuatan dan komoditi.

Menuju ke hadapan, katanya permintaan global dan bukannya penurunan nilai ringgit yang akan terus memacu pertumbuhan eksport.

Sementara itu, beliau berkata inflasi domestik yang berkembang dengan kadar lebih perlahan empat peratus pada suku kedua 2017 berbanding 4.3 peratus pada suku pertama, dijangka akan terus berkembang sederhana dengan kemungkinan harga minyak global yang stabil serta lebih rendah untuk baki enam bulan tahun ini.

"Bagaimanapun, kami akan terus memerhatikan pergerakan harga minyak," katanya.

Berita Harian X