Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:55pm
MOHD Ali beramah mesra bersama sebahagian daripada usahawan yang hadir untuk Program PUNB bersama Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia (BRO) dan Persatuan Usahawan Automotif Prosper Malaysia di Dewan PUNB. - Foto Supian Ahmad
MOHD Ali beramah mesra bersama sebahagian daripada usahawan yang hadir untuk Program PUNB bersama Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia (BRO) dan Persatuan Usahawan Automotif Prosper Malaysia di Dewan PUNB. - Foto Supian Ahmad

Bajet: PUNB mahu peruntukan ditambah

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) berharap kerajaan akan menggandakan peruntukan kepada agensi itu kepada RM400 juta dalam Bajet 2018.

Pengerusi, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, berkata PUNB yang menerima peruntukan sebanyak RM200 juta pada tahun lalu, memerlukan jumlah yang lebih besar bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produk PUNB daripada usahawan Bumiputera.

"Permintaan bagi perkhidmatan dan pembiayaan PUNB tidak akan berkurangan memandangkan ekonomi berkembang," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Persatuan Peruncit Bumiputera dan Persatuan Usahawan Automotif Prosper Malaysia di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata setakat ini PUNB sudah mengagihkan RM130 juta daripada peruntukan tahun ini dan bakinya akan disalurkan menjelang akhir tahun.

Beliau berkata, PUNB akan melancarkan dua lagi produk pembiayaan iaitu pinjaman untuk golongan belia dan pembiayaan untuk membeli rumah kedai atau premis perniagaan tidak lama lagi.

Mengenai pinjaman bagi membeli rumah kedai atau premis perniagaan, beliau berkata pinjaman itu akan diperkenalkan dengan kerjasama Maybank di mana bank akan menyediakan pembiayaan sehingga 95 peratus daripada harga pembelian manakala PUNB akan memberi jaminan 25 peratus daripada jumlah berkenaan.

Selain itu, beliau berkata PUNB turut merancang untuk menambah jumlah usahawan Bumiputera dalam sektor automotif sebanyak 20 peratus menjelang tahun depan seiring dengan kepentingan sektor itu kepada ekonomi.

"Industri automotif adalah antara industri penting bagi negara memandangkan ia menyumbang empat peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan menyediakan hampir 600,000 pekerjaan kepada rakyat Malaysia," katanya dan menambah yang kerajaan juga menjangka industri automotif akan berkembang sebanyak 10 peratus menjelang 2020

Sejak bermula pada 1991 sehingga Ogos tahun ini, PUNB mengagihkan RM2.7 bilion kepada lebih 5,900 syarikat Bumiputera yang sekali gus memberi manfaat kepada lebih 9,000 usahawan Bumiputera.

Daripada jumlah berkenaan, RM393 juta atau 17 peratus telah disalurkan kepada usahawan Bumiputera yang terbabit dalam sektor automotif dan memberi manfaat kepada 1,245 syarikat. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X