Khamis, 2 November 2017 | 4:21pm

Maxis lancar telefon pintar NeXT X1

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan komunikasi dan internet, Maxis Bhd melancarkan NeXT X1, telefon pintar 4G kedua jenamanya yang ditawarkan bersama data, panggilan dan jaminan 24 bulan.

NeXT X1 yang ditawarkan dengan pelan mudah alih RM98 sebulan itu kini boleh didapati menerusi Maxis Online Store dan Pusat Maxis atau Rakan Eksklusif Maxis di seluruh negara bermula hari ini.

Siri terbaharu itu turut disertakan perlindungan skrin 12 bulan dan ia adalah kesinambungan dari kejayaan NeXT X1 yang mula dijual di pasaran pada 3 Mac lalu.

Ketua Pascabayar Maxis, Arjun Varma berkata, di sebalik kemahuan memiliki telefon pintar rakyat Malaysia terpaksa menanggung harga telefon yang semakin mahal terutama untuk memiliki dan mengekalkan telefon pintar yang mewah.

"Kita sentiasa bimbang ada kemungkinan kerosakan boleh berlaku dan ini boleh menyebabkan kos pembaikan yang tinggi. Dengan NeXT X1, Maxis akan menghapuskan semua kebimbangan ini.

"Maxis tidak hanya menawarkan data dan panggilan tetapi memberi pelanggan satu kelebihan yang hebat pada nilai yang amat baik. Lebih baik lagi, telefon pintar ini dibawakan oleh rangkaian Nombor 1 4G di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Arjun berkata, bagi memaksimumkan penawaran kepada pelanggan, Maxis melengkapkan telefon pintar jenamanya itu dengan tawaran pelan 6GB data 4G yang pantas, 50 minit panggilan percuma dan tambahan Internet yang menarik pada hanya RM4 satu GB.

Telefon pintar 4G itu dilengkapi dengan skrin paparan FHD 5.5 inci, kamera AF 16MP, dan sensor cap jari.

Sempena dengan pelancaran itu juga, selebriti tempatan Scha Alyahya dilantik sebagai duta jenama NeXT yang akan membintangi semua iklan cetak dan TV NeXT X1, termasuk 'treler filem' khas untuk telefon.

Berita Harian X