Isnin, 6 November 2017 | 11:52am
MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Ranjit Ajit Singh melawat gerai pameran selepas merasmikan Persidangan Digital Finance 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto Eizairi Shamsudin

Dana Pelaburan Bersama (CIF) ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Dana Pelaburan Bersama (CIF) berjumlah RM50 juta daripada geran sedia ada untuk dilabur dalam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia dilabur secara bersama dengan pelabur swasta dalam PKS menerusi platform pembiayaan ekuiti ramai (ECF) dan rakan setara (P2P).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan membantu menubuhkan dana itu.

Beliau berkata, SC juga akan menetapkan kriteria pelaburan bersama bagi pembiayaan berasaskan ekuiti dan hutang.

"Apabila dana itu beroperasi, ia akan dilabur secara bersama dalam kempen Pembiayaan ECF dan P2P," katanya pada Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Johari berkata, menerusi dana itu, kerajaan berharap untuk menyediakan mekanisme berkesan berkenaan kerjasama perkongsian dan tanggungjawab antara pelabur Malaysia dan kerajaan untuk melabur bersama serta mengembangkan PKS di negara ini.

Berita Harian X