Jumaat, 24 November 2017 | 12:42pm
Ketua Ahli Ekonomi, Penyelidikan Ekonomi dan Kerjasama Serantau, Bank Pembangunan Asia (ADB), Dr Donghyun Park.

Pelabur asing kembali ke pasaran bon Malaysia

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pasaran bon tempatan di negara membangun Asia Timur, termasuk Malaysia, menyaksikan pertumbuhan pantas pada suku ketiga 2017 dengan jumlah bon tertunggak mencecah AS$11.6 trilion pada akhir September.

Ketua Ahli Ekonomi, Penyelidikan Ekonomi dan Kerjasama Serantau, Bank Pembangunan Asia (ADB), Dr Donghyun Park, berkata pasaran bon mata wang tempatan (LCY) di negara terbabit terus berkembang pada suku dikaji, dengan keseluruhan saiz pasaran menokok kepada AS$11.6 trilion pada akhir September.

Di Malaysia katanya, jumlah bon LCY tertunggak mencecah AS$299 bilion pada akhir September, dengan pertumbuhan dipacu sebahagian besarnya oleh segmen bon korporat.

Kebanyakan pertumbuhan dalam tempoh dikaji disumbang peningkatan dalam simpanan bon korporat, katanya.

Beliau berkata demikian pada Siri Meja Bulat ASEAN: Meluaskan Asas Pelabur Dalam Pasaran Bon ASEAN anjuran CIMB ASEAN Research Institute.

Donghyun berkata, Malaysia kekal pasaran sukuk, atau bon Islam, terbesar di Asia Timur.

Menurut laporan Asia Bond Monitor bagi November 2017 yang diedarkan kepada pemberita di majlis itu, pada akhir September 58 peratus daripada bon LCY di Malaysia distruktur patuh Syariah.

Hampir tiga perempat segmen bon korporat Malaysia adalah sukuk, manakala 44 peratus bon kerajaan adalah dalam sukuk.

Laporan yang diterbitkan ADB itu juga mendapati Malaysia mencatat peningkatan terbesar dalam perkongsian pegangan asing, menyaksikan peningkatan satu peratus kepada 27.9 peratus pada akhir September.

"Pelabur asing kembali ke pasaran bon Malaysia kerana asas ekonominya kukuh," kata laporan itu.

Di Malaysia, jumlah penerbitan bon menokok 7.8 peratus suku-ke-suku kepada AS$18 bilion berikutan kedua-dua sektor kerajaan dan swasta mencatat pertumbuhan positif.

Penerbitan bon kerajaan pusat meningkat 12.1 peratus suku-ke-suku kepada AS $8bilion, diterajui Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bil Perbendaharaan.

Penerbitan bon korporat baharu Malaysia juga lebih tinggi pada suku dikaji, naik 6.3 peratus kepada AS$10 bilion, berikutan syarikat mengambil manfaat daripada pengukuhan ringgit, selain jangkaan peningkatan pulangan.

Berita Harian X