Isnin, 1 Januari 2018 | 5:31pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Harga kenderaan lebih kompetitif 2018

CYBERJAYA: Harga kenderaan di Malaysia diunjurkan kekal kompetitif tahun ini berikutan penawaran produk dalam pasaran yang semakin berteknologi tinggi dan berkualiti.

Pada masa sama, kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP) 2014 yang dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada separuh pertama tahun ini, juga akan membantu kepada penawaran harga lebih baik, sekali gus memperkukuhkan sektor automotif negara pada masa depan.

Penawaran produk kenderaan berkualiti dan perbezaan harga yang semakin berkurang bagi pasaran automotif negara menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang berada pada tahap terbaik di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari, berkata peranan pasaran adalah antara sektor penting dalam menentukan harga kenderaan tetapi pada masa sama ia perlu selari dengan spesifikasi serta ciri-ciri produk yang dihasilkan.

"Kita sedang usaha ke arah memastikan pengeluar kenderaan menghasilkan produk atau kereta yang mampu memenuhi kehendak pengguna dari aspek spesifikasinya serta harga bersesuaian dan berpatutan.

"Dengan pelaksanaan NAP 2014 serta hasil kajian semula yang diperoleh tahun depan (tahun ini) akan memberikan pilihan kepada pengguna," katanya ketika ditemui di Cyberjaya, baru-baru ini.

Pada masa sama katanya, tekanan pasaran akan memberi maklum balas kepada pengeluar kenderaan untuk mengeluarkan produk mengikut ciri keperluan pengguna pada harga lebih kompetitif.

"Harga yang ditawarkan tidak bermaksud murah kerana ia perlu dipadankan pada spesifikasi kereta termasuk aspek keselamatan, keselesaan dan sebagainya.

"Aspek yang ditawarkan juga turut mempengaruhi harga kenderaan itu sendiri kerana ia membabitkan sesebuah model kenderaan, bukan kepada harga murah semata-mata.

"Jika dahulu, harga Honda City di Thailand adalah antara RM60,000 dan RM65,000 manakala di Malaysia harga model itu mencecah RM90,000, tetapi hari ini Honda City automatik boleh dibeli dengan harga RM75,000 di Malaysia berbanding Honda City transmisi manual di Thailand dengan harga RM69,000," katanya.

Beliau berkata, kematangan rakyat Malaysia juga menjadikan negara lebih membangun yang mana ia perlu selari dengan penggunaan teknologi, kepentingan keselamatan dan pemilihan keselesaan.

Mengulas mengenai NAP 2014, Madani berkata, dasar itu memberi banyak manfaat kepada pertumbuhan industri automotif negara termasuk membantu mempromosikan kenderaan cekap tenaga (EEV).

"Galakan yang diberi kerajaan menerusi NAP 2014 termasuk pemberian insentif kepada pengeluar kenderaan yang mengeluarkan model kereta jenis EEV dalam bentuk pengurangan cukai. Ia secara tidak langsung telah mengurangkan harga kenderaan.

Malah, secara puratanya, sejak NAP mula diperkenalkan pada 2014 sehingga September 2017, harga kenderaan telah mencatatkan pengurangan sebanyak 13.1 peratus," katanya.

22 dibaca
Berita Harian X