Rabu, 13 Jun 2018 | 7:57pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah buat hari ketiga berturut-turut, selari kedudukan pasaran serantau, menjelang pengumuman dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) lewat hari ini, selain diheret turun oleh tekanan jualan saham wajaran tinggi terpilih.

Pada penutupan, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.59 mata atau 0.03 peratus kepada 1,763.57, selepas dibuka 2.6 mata lebih rendah pada 1,761.56 berbanding 1,764.16 pada penutupan Selasa.

Indeks bergerak antara 1,755.38 dan 1,764.5 di sepanjang hari.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 469 berbanding 397, manakala 396 kaunter tidak berubah, 648 tidak diniagakan manakala 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.12 bilion unit bernilai RM2.02 bilion berbanding 2.36 bilion unit bernilai RM2.39 bilion pada Selasa.

Moody's Investors Service hari ini mengekalkan anggaran hutang langsung kerajaan Malaysia pada 50.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar 2017.

Agensi penarafan itu mengekalkan penilaian risiko liabiliti oleh institusi awam sektor bukan kewangan, susulan beberapa kenyataan oleh kerajaan Persekutuan yang baharu.

"Saya jangkakan perkara ini sudah diambil kira, namun ia menjadi peringatan kepada pelabur bahawa Moody's kini memantau Malaysia, dan memberi isyarat bahawa dari segi penarafan kredit, kerajaan perlu memastikan ia perlu diurus dengan baik," kata Ketua Pedagang OANDA di Asia-Pasifik, Stephen Innes.

Mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed berakhir lewat hari ini.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 1.10 peratus kepada 3,392.85, Nikkei Jepun menambah 0.38 peratus kepada 22,966.38 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.22 peratus kepada 30,725.15.

Di pasaran tempatan, antara saham yang aktif didagangkan, Fintec Global meningkat setengah sen kepada sembilan sen, GSB Group menambah satu sen kepada 22.5 sen, MYEG tidak berubah pada 94.5 sen, Sapura Energy susut dua sen kepada 64.5 sen, Pegasus Heights turun setengah sen kepada 2.5 sen manakala V.S. Industry turun 17 sen kepada RM1.63.

Bagi kaunter wajaran tinggi, MISC turun 24 sen kepada RM5.86, Public Bank susut 22 sen kepada RM24.08, Petronas Dagangan turun 52 sen kepada RM24.94 manakala CIMB dan IOI Corp susut lima sen kepada RM6.08 dan RM4.60.

Maybank dan TNB masing-masing kekal pada RM9.60 dan RM14.40 manakala Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM8.34 dan Maxis meningkat tiga sen kepada RM5.77.

Indeks FBM Emas melonjak 13.46 mata kepada 12,392.15, Indeks FBMT 100 meningkat 11.42 mata kepada 12,185.04 dan FBM Ace merosot 32.26 mata kepada 5,234.47.

Indeks FBM Emas Syariah menambah 44.99 mata kepada 12,468.91 manakala FBM 70 menokok 66.75 mata kepada 14,879.89.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 94.98 mata kepada 17,534.58, Indeks Perusahaan turun 0.02 mata kepada 3,188.19 dan Indeks Perladangan meningkat 31.67 mata kepada 7,738.0.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.40 bilion saham bernilai RM1.88 bilion berbanding 1.57 bilion saham bernilai RM2.22 bilion semalam.

Jumlah waran susut kepada 452.52 juta unit bernilai RM88.49 juta berbanding 499.26 juta unit bernilai RM99.60 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 271.88 juta saham bernilai RM48.39 juta berbanding 283.77 juta saham bernilai RM64.57 juta.

Barangan pengguna menyumbang 41.38 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian (201.77 juta), pembinaan (162.98 juta), perdagangan dan perkhidmatan (624.82 juta), teknologi (52.78 juta), infrastruktur (29.29 juta), SPAC (1.87 juta ), kewangan (46.99 juta), hotel (4.77 juta), hartanah (183.93 juta), perladangan (37.49 juta), perlombongan (40,500), REIT (4.08 juta) dan tertutup/dana (7,000).

-- BERNAMA

Berita Harian X