Selasa, 16 Oktober 2018 | 2:10pm
TERESA Kok. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

Industri minyak sawit akan terus sumbang kepada ekonomi

KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit akan terus menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara walaupun berdepan dengan isu berkaitan kemapanan dan nutrisi.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata kerajaan kini sedang menyemak semula dasar berkaitan kemapanan di samping mengukuhkan sektor hiliran.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan minyak sawit kekal sebagai komoditi utama dan penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Industri minyak sawit wujud sejak lebih 100 tahun lalu dan kerajaan akan terus berdepan cabaran untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul.

“Baru-baru ini, saya menamatkan misi ke Eropah bertujuan melobi minyak sawit negara dan mencari jalan untuk menghalang atau menyekat minyak sawit di bawah mandat ‘European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II)’

“Semasa misi berkenaan, kami mengadakan pertemuan dengan barisan menteri, Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU), badan bukan kerajaan dan juga wakil industri dan kami mengulangi pendirian Kerajaan dalam memastikan pengeluaran minyak sawit Malaysia yang mapan dan memenuhi komitmen Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) ,” katanya semasa berucap pada majlis pembukaan Kongres Minyak dan Lemak Antarabangsa (OFIC 2018) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Augustine S.H Ong, Presiden Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Malaysia (MOSTA).

Kongres berkenaan yang diadakan setiap dua tahun menghimpunkan kelompok saintis dan ahli teknologi di kalangan kumpulan pakar minyak sayuran.

Ia bertindak sebagai platform bagi saintis dan ahli tekonologi untuk bertukar idea, berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai kajian terbaharu dan juga inovasi teknologi.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, Malaysia sentiasa berada di hadapan dalam memastikan kemapanan dalam rantaian bekalan minyak sawit dan perladangan di negara ini adalah yang pertama mendapat pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mapan (RSPO)

“Sehingga kini, negara mengeluarkan 42 peratus daripada pengeluaran global minyak sawit yang diiktiraf.

“Di samping itu, kerajaan juga akan terus mengukuhkan pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) bagi mencerminkan komitmen kukuh terhadap pengeluaran minyak sawit yang mapan,” katanya.

INFO

*Tema OFIC 2018 adalah ‘Aliran Yang Akan Membentuk Masa Depan Industri Minyak dan Lemak - Alatan, Teknik dan Teknologi’

25 dibaca
Berita Harian X