Khamis, 10 Januari 2019 | 6:24pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pelan pulih kedudukan fiskal negara berjalan lancar – Guan Eng

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menegaskan, laporan Nomura Global Research bahawa defisit fiskal negara bagi 2018 akan merosot daripada 3.7 peratus kepada 3.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak benar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia berikutan pelan pemulihan kedudukan fiskal negara dalam tempoh tiga tahun yang sedang dilakukan kini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau berkata, kerajaan amat yakin mampu mencapai defisit fiskal sebanyak 3.7 peratus daripada KDNK bagi 2018 dan 3.4 peratus daripada KDNK pada tahun ini.

“Sehingga sekarang, pelan pemulihan tiga tahun ini berjalan lancar dan sekiranya berterusan, ia akan membolehkan kita memulihkan semula kedudukan kewangan negara.

“Jadi, apa yang dilaporkan Nomura Global Research bahawa defisit fiskal negara bagi 2018 akan merosot kepada 3.9 peratus daripada KDNK adalah sama sekali tidak benar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Nomura Global Research melaporkan defisit fiskal negara bagi 2018 akan merosot daripada 3.7 peratus kepada 3.9 peratus manakala bagi tahun ini adalah 3.7 peratus daripada KDNK.

Selain itu, Guan Eng berkata pendedahan Nomura Global Research itu adalah tidak benar, jika diambil kira kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang melebihi 34 peratus daripada anggaran asal kerajaan bagi dua bulan pertama kutipan dijalankan.

“Anggaran yang dibuat Kementerian Kewangan adalah RM4 bilion untuk dua bulan terakhir kutipan bermula November dan Disember tetapi ia meningkat sebanyak 34 peratus iaitu sebanyak RM5.4 bilion.

“Ini memberi keyakinan bahawa sasaran dan matlamat kewangan yang sudah ditetapkan kerajaan akan dapat dicapai,” katanya.

Selain itu, kata beliau, pelbagai inisiatif penstrukturan semula yang diumumkan kerajaan sedang dilaksanakan termasuk penggunaan belanjawan berasaskan sifar untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan tahun ini, yang akan memberi kesan segera.

Pelaksanaan secara komprehensif konsep tender terbuka meliputi semua kementerian sejak tahun lalu turut membantu meningkatkan ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan kerajaan.

“Kita juga lakukan migrasi ke perakaunan akruan daripada perakaunan tunai bermula pada 2021 untuk meningkatkan ketelusan dalam kewangan awam.

“Jawatankuasa Pembaharuan Cukai dan Jawatankuasa Kewangan Awam dibentuk untuk mempelbagaikan hasil kerajaan di samping meneruskan pengukuhan fiskal tanpa mengurangi pertumbuhan.

“Lebih banyak langkah bagi memulihkan kedudukan fiskal negara akan diumumkan pada 2020 nanti, yang dipercayai dapat meyakinkan agensi penarafan kredit iaitu Fitch Ratings, Moody’s dan S&P bahawa keputusan mereka untuk mengekalkan profil kredit Malaysia ada tepat sekali,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung kebimbangan Nomura Global Research bahawa kejatuhan harga minyak mentah dunia akan memberi kesan negatif kepada kedudukan kewangan negara, Guan Eng berkata Malaysia kini tidak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada hasil petroleum.

“Jika pada 2009 kebergantungan negara terhadap hasil petroleum adalah 41.3 peratus, tahun ini ada penurunan kepada 19.5 peratus.

“Mereka juga menyatakan kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik di negara ini. Ingin saya tegaskan di sini, Kerajaan Persekutuan sangat kukuh dan padu, yang mana peluang untuk kebebasan bersuara sekarang menjadi penanda paling penting bahawa keadaan politik negara amat kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keputusan akhir dan pengumuman mengenai penjualan bon Samurai hanya akan dibuat minggu depan dan laporan yang mengatakan ia sudah dijual kepada tiga bank adalah tidak benar.

Berita Harian X