Selasa, 19 March 2019 | 6:40pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana susulan kenaikan baru-baru ini.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata bursa tempatan berada dalam aliran meningkat sejak pertengahan minggu lepas, meningkat 10.4 mata untuk ditutup di paras tertinggi hariannya pada Isnin.

“Kenaikan itu menyebabkan beberapa peserta pasaran mengambil keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Pada 5 petang, Indeks petunjuk pasaran susut 3.26 mata untuk ditutup di paras terendah hariannya pada 1,687.68 daripada paras penutup 1,690.94 pada Isnin.

Petunjuk pasaran itu dibuka 1.54 mata lebih kukuh kepada 1,692.48 dan bergerak antara paras 1,687.68 dan 1,694.89 sepanjang hari dagangan.

Di papan skor, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 622 berbanding 241 manakala 373 kaunter kekal tidak berubah, 652 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.89 bilion unit bernilai RM1.75 bilion daripada 3.26 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Isnin.

Ditanya sama ada persidangan Invest Malaysia 2019 selama dua hari itu yang dianggap sebagai acara pasaran modal terbesar di negara ini memberi sebarang implikasi kepada pasaran hari ini, Yee berkata masih terlalu awal untuk menyatakannya kerana forum itu masih belum menyediakan sebarang pemangkin baharu untuk menggerakkan pasaran.

“Barangkali, pengumuman pengurangan cukai satu peratus dalam kadar cukai korporat mungkin akan membawa sedikit kesan ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi keseluruhannya tidak banyak lagi pemangkin yang disediakan daripada acara itu,” katanya.

Dalam ucap tama beliau pada persidangan itu, di sini, hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kadar cukai korporat bagi PKS akan berkurangan kepada 17 peratus tahun ini daripada 18 peratus sebelumnya.

Perdana Menteri berkata pengurangan itu hanya terpakai kepada PKS dengan modal berbayar di bawah RM2.5 juta dan perniagaan dengan pendapatan bercukai tahunan di bawah RM500,000.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB susut satu sen setiap satu masing-masing kepada RM9.48 dan RM5.47, Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM24.48 dan RM9.25, manakala Tenaga naik 14 sen kepada RM13.20.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy dan warannya turun 1.5 sen masing-masing kepada 34.5 sen dan 13 sen, Dayang susut 24 sen kepada RM1.38, Bumi Armada berkurangan satu sen kepada 19 sen tetapi Metronic Global meningkat 1.5 sen kepada sembilan sen.

Nestle menerajui kaunter rugi selepas jatuh 70 sen kepada RM147.80 manakala BAT menerajui kaunter untung naik 32 sen kepada RM34.58.

Indeks FBM Emas turun 47.35 mata kepada 11,769.40, Indeks FBMT 100 berkurangan 41.21 mata kepada 11,622.13 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 53.61 mata kepada 11,790.25.

Indeks FBM Ace turun 81.96 mata kepada 4,819.82 manakala FBM 70 susut 126.56 mata kepada 14,110.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 24.0 mata kepada 17,476.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.31 mata kepada 170.58 dan Indeks Perladangan susut 22.97 mata kepada 7,262.66.

Jumlah dagangan Pasaran Utama tidak berubah sebanyak 2.16 bilion saham bernilai RM1.60 bilion berbanding 2.16 bilion saham bernilai RM1.69 bilion pada Isnin.

Waran berkurangan kepada 342.39 juta unit bernilai RM70.83 juta daripada 470.63 juta unit bernilai RM94.53 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 383.74 juta saham bernilai RM79.10 juta berbanding 630.46 juta saham bernilai RM132.11 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 245.90 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (325.44 juta), pembinaan (166.04 juta), teknologi (146.64 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (39.69 juta), hartanah (130.86 juta), perladangan (18.36 juta), REITs (5.45 juta), dana tertutup (140,200), tenaga (907.62 juta), penjagaan kesihatan (20.19 juta), telekomunikasi dan media (23.32 juta), pengangkutan dan logistik (50.71 juta), dan utiliti (84.22 juta). - BERNAMA

Berita Harian X