Jumaat, 21 Jun 2019 | 7:55am

S&P 500 catatkan rekod tertinggi

NEW YORK: S&P 500 mencatatkan rekod tertinggi, di lonjak oleh jangkaan Wall Street bahawa Rizab Persekutuan akan mengurangkan kadar faedah seawal bulan depan bagi mengelak perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China melambatkan pertumbuhan ekonomi.

Semua 11 indeks sektor S&P 500 mencatatkan kenaikan selepas bank pusat AS mengekalkan kadar faedah pada akhir mesyuarat dasar dua hari Rabu, tetapi berjanji untuk "bertindak sesuai" bagi mengekalkan kesihatan ekonomi.

Indeks-indeks utama Wall Street meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan jangkaan pengurangan kadar faedah dan harapan rundingan perdagangan AS-China diteruskan semula pada mesyuarat Kumpulan 20 (G20) minggu depan di Jepun.

Indeks penanda aras S&P 500, yang meningkat kira-kira tujuh peratus setakat ini pada Jun, ditutup di atas rekod penutup tertinggi sebelumnya pada 3 Mei.

Dow Jones Industrial Average menokok 0.94 peratus untuk ditutup pada 26,753.17 mata.

S&P 500 menokok 0.95 peratus kepada 2,954.18.

Nasdaq Composite menambah 0.8 peratus untuk ditutup pada 8,051.34.

Apple naik 0.8 peratus dan buat seketika mencecah AS$200 buat kali pertama sejak awal Mei. Pengeluar iPhone itu dilihat sebagai potensi mangsa dalam perang perdagangan Trump, sekiranya ia bertambah buruk.

Sektor teknologi meningkat 1.43 peratus dengan Oracle Corp menerajui kenaikan. Sahamnya melonjak 8.2 peratus selepas pengeluar perisian perniagaan meramalkan keuntungan suku semasa di atas anggaran. Kenaikan sahamnya menolong memacu S&P 500 lebih daripada saham lain.

Sejumlah 7.5 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.9 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

175 dibaca
Berita Harian X