Selasa, 13 Ogos 2019 | 7:52am

Dow Jones jatuh

NEW YORK: Semua tiga indeks utama saham Amerika Syarikat (AS) ditutup rendah dalam dagangan tipis, dengan sedikit perkembangan untuk melegakan kegelisahan pasaran berhubung tunjuk perasaan di Hong Kong, kekalahan pemilihan Presiden Argentina Mauricio Macri, dan pertikaian tarif AS-China yang menggoyangkan pasaran berbulan-bulan lamanya.

"Penjualan berlaku kerana pasaran bon rali seperti ia tidak pernah berlaku sebelumnya," kata Brian Battle, Pengarah Perdagangan di Performance Trust Capital Partners di Chicago.

Orang ramai mengambil langkah tunggu dan lihat, katanya.

Goldman Sachs Group Inc semalam berkata bahawa ahli ekonominya melihat risiko kemelesetan semakin meningkat apabila perang perdagangan AS-China yang berlanjutan.

"Pelabur akan menyedari bahawa apa yang berlaku di luar sempadan AS mempunyai impak terhadap pertumbuhan ekonomi global dan juga AS," kata Paul Nolte, Pengurus Portfolio di Kingsview Asset Management di Chicago.

Dow Jones Industrial Average jatuh 391 mata atau 1.49 peratus kepada 25,896.44.

S&P 500 turun 35.96 mata atau 1.23 peratus kepada 2,882.69.

Nasdaq Composite turun 95.73 mata atau 1.2 peratus kepada 7,863.41.

Kesemua 11 sektor utama S&P 500 mengakhiri sesi di wilayah negatif.

Jumlah dagangan di bursa AS adalah sebanyak 6.09 bilion saham, berbanding 7.24 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

470 dibaca
Berita Harian X