Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:01pm
Bursa Malaysia mengakhiri dagangannya di bawah paras 1,600 mata hari ini, kali pertama sejak 24 Mei lalu. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup bawah 1,600 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangannya di bawah paras 1,600 mata hari ini, kali pertama sejak 24 Mei lalu, menjejaki penurunan pasaran serantau dan global.

Ia susulan ketidaktentuan terhadap rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang diselubungi pula dengan meningkatnya ketegangan di Hong Kong selain Argentina yang kini diambang berdepan krisis ekonomi.

Penanda aras pasaran saham tempatan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 22.17 mata atau 1.37 peratus untuk ditutup pada 1,592.88 mata pada jam 5 petang ini, selepas dibuka lebih rendah kepada 1,6134.85 mata pada dagangan pagi.

FBM KLCI diniagakan turun naik antara 1,615.24 dan 1,591.29 sepanjang dagangan hari ini.

Di peringkat serantau, pasaran-pasaran utama menjejaki penurunan dalam Dow Jones pada Jumaat lalu dan hari ini, yang menyumbang kepada penjualan secara besar-besaran.

Purata Perindustrian Dow Jones jatuh 391 mata, atau 1.49 peratus kepada 25,896.44, S&P 500 kehilangan 35.96 mata atau 1.23 peratus kepada 2,882.69 dan Nasdaq susut 95.73 mata atau 1.2 peratus kepada 7,863.41.

Di Asia, Indeks Straits Times Singapura jatuh 22.21 mata atau 0.7 peratus kepada 3,146.73, Nikkei Jepun kehilangan 229.38 mata atau 1.11 peratus kepada 20,455.44, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 543.42 mata atau 2.10 peratus kepada 25,281.30.

Penganalisis berkata, keyakinan pelabur terjejas bulan ini berikutan beberapa isu negatif, yang hanya diimbangi sedikit oleh harapan bank-bank pusat akan mengambil langkah pelonggaran dasar, di tengah-tengah tinjauan global yang suram.

Kenyataan daripada Presiden Donald Trump menyebabkan rancangan rundingan perdagangan yang dirancang bulan depan menjadi sesuatu yang meragukan.

Manakala, keputusannya untuk memperkenalkan lebih banyak tarif ke atas barangan China, menyebabkan pasaran saham menjunam minggu lalu.

Berita Harian X