Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:10pm

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global meransang minat terhadap dolar AS, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1960/1990 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1830/1860 pada Jumaat.

Peniaga berkata, aset berisiko kekal berada di bawah tekanan apabila ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan rakan dagangan utamanya terus meningkat.

“Ketegangan yang berlarutan ini tidak elok bagi mata wang negara sedang pesat membangun seperti ringgit, kerana keadaan tidak menentu itu akan menyebabkan pelabur memilih aset selamat seperti dolar AS dan yen Jepun,” katanya kepada Bernama.

Ketegangan antara AS dan China panas kembali selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari China bernilai AS$300 bilion bermula 1 September.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0213/0252 daripada 3.0259/0285 pada Jumaat dan naik berbanding pound British kepada 5.0633/0703 daripada 5.0652/0705.

Bagaimanapun, unit tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.9905/9945 daripada 3.9522/9561 pada Jumaat dan turun berbanding euro kepada 4.7016/0654 daripada 4.6858/6908 sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Ahad.

-- BERNAMA

125 dibaca
Berita Harian X