Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:11pm

Bursa Malaysian ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup 1.37 peratus lebih rendah selepas ia menerima tekanan akibat kejatuhan dalam Indeks Perindustrian Dow Jones AS pada Jumaat lepas dan semalam, sehingga menyebabkan berlaku penjualan secara besar-besaran hari ini.

Semasa ditutup, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sejumlah 22.17 mata untuk diakhiri pada 1,592.88 berbanding 1,615.05 yang direkodkan pada Jumaat lalu.

Indeks utama dibuka 0.19 mata lebih tinggi pada 1,615.24 dan mencecah paras rendah 1,591.29 sejurus sebelum ditutup.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi untung iaitu sebanyak 744-172, manakala 277 kaunter tidak berubah, 713 tidak didagangkan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.19 bilion unit bernilai RM1.69 bilion berbanding 1.97 bilion unit bernilai RM1.55 bilion yang dicatatkan semasa Jumaat sebelum ini.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata pada hari Jumaat lalu, Dow Jones mencatatkan penyusutan 91 mata dan ia meneruskan aliran penurunan pada Isnin, jatuh 400 mata, dan ini dicerminkan menerusi pasaran tempatan hari ini.

Bursa tempatan ditutup semalam sebagai gantian kepada Hari Raya Aidiladha, ini menyebabkan pasaran menerima tekanan berganda hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sektor teknologi, yang menyaksikan penurunan 2.21 peratus adalah selaras dengan kejatuhan sebanyak 1.20 yang dicerminkan pada Komposit Nasdaq AS berikutan ketegangan perdagangan AS-China.

"Sektor teknologi menyaksikan jualan secara besar-besaran hari ini, diikuti dengan hartanah. Sektor kewangan terjejas akibat jualan besar-besaran dalam saham wajaran tinggi milik perbankan tertentu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut 78 sen kepada RM20.74, Maybank rugi empat sen kepada RM8.56, Hong Leong Bank jatuh 12 sen kepada RM17.40, Tenaga Nasional merosot 22 sen kepada RM13.60 dan Petronas Chemicals kehilangan 15 sen kepada RM7.24.

Dalam kalangan kaunter aktif, Sapura Energy, Eduspec, KNM dan Berjaya Corp, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 28 sen, 5.5 sen, 38.5 sen dan 25.5 sen, manakala Genting Malaysia turun 10 sen kepada RM3.12.

Indeks FBM Emas jatuh 149.93 mata kepada 11,290.40, Indeks FBMT 100 susut 144.59 mata kepada 11,128.28, manakala Indeks Emas Syariah merekodkan kerugian sebanyak 130.34 mata kepada 11,796.23.

FBM 70 lemah sebanyak 141.54 mata kepada 14,162.83 dan FBM Ace 83.96 mata lebih rendah kepada 4,613.68.

Secara sektoran, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 232.12 mata kepada 15,609.87, Indeks Perladangan kehilangan 35.75 mata kepada 6,691.66 , manakala Indeks Perkhidmatan dan Produk Industri jatuh 1.96 mata kepada 150.68.

Jumlah dagangan pasaran utama meningkat kepada 1.42 bilion saham berbanding dengan 1.23 bilion saham bernilai RM1.54 bilion daripada RM1.41 bilion yang dicatatkan Jumaat lalu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 442.68 juta unit berbanding 342.36 juta unit bernilai RM105.42 juta daripada RM85.21 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 329.81 juta daripada 398.31 juta saham bernilai RM41.30 juta berbanding RM60.61 juta yang direkodkan pada minggu lepas.

Produk dan Perkhidmatan Pengguna menyumbang sebanyak 233.95 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, Produk dan Perkhidmatan Perindustrian (393.62 juta), Pembinaan (84.35 juta), Teknologi (122.89 juta), SPAC (sifar), Perkhidmatan Pengguna (38.82 juta), Hartanah (94.33 juta), Perladangan (14.36 juta), REIT (14.72 juta), Dana Tertutup (18,900), Tenaga (235.69 juta), Penjagaan Kesihatan (25.96 juta), Telekomunikasi dan Media (118.42 juta), Pengangkutan dan Logistik (22.05 juta) serta Utiliti (21.90 juta).

-- BERNAMA

107 dibaca
Berita Harian X