Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:16pm

MIDF jangka jualan perdagangan beragihan positif

KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan momentum positif dalam jualan perdagangan beragihan pada suku kedua 2019 yang meningkat sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun, berterusan hingga ke suku ketiga.

Tinjauan optimistik itu disokong oleh inflasi rendah, pasaran pekerjaan stabil dan perubahan dasar monetari dan fiskal yang menyokong seperti penurunan kadar dasar semalaman (OPR) dan harga bahan api runcit yang stabil.

"Bagaimanapun, kesan asas tinggi daripada tempoh tanpa cukai tahun lepas boleh mempengaruhi keputusan," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota, hari ini.

Perdagangan beragihan mencatatkan paras tinggi baharu berjumlah RM112.3 bilion pada Jun 2019 meskipun penyusutan dalam jualan kenderaan bermotor dan pertumbuhan sederhana jualan runcit.

Jualan kenderaan bermotor merosot sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun pada Jun kerana kempen promosi musim perayaan telah berakhir.

Sementara itu, perdagangan runcit terus berkembang, tetapi pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 7.7 peratus tahun ke tahun berikutan kesan asas yang lebih tinggi dari tempoh tanpa cukai pada Jun hingga bagi barangan mahal.

MIDF Research berkata, pertumbuhan jualan kenderaan bermotor dan runcit adalah yang tertinggi semasa tempoh tanpa cukai berbanding bulan-bulan lain pada 2018.

Sementara itu, perdagangan borong, yang merangkumi kira-kira 48 peratus daripada jumlah perdagangan beragihan, meningkat sebanyak 6.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2019 - kadar terpantas setakat ini, bagi tahun ini.

"Kami menjangka permintaan dalam negeri terus meningkat bagi tempoh beberapa bulan yang akan datang, disokong oleh pengurangan OPR, pasaran kerja yang stabil dan tekanan inflasi yang rendah," kata firma penyelidikan itu.

-- BERNAMA

Berita Harian X