Selasa, 13 Ogos 2019 | 9:30pm
KETUA Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong. NSTP/Asyraf Hamzah

RAM Rating unjur inflasi Julai tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: RAM Ratings menjangka keseluruhan kadar inflasi Malaysia bagi Julai tinggi sedikit pada 1.6 peratus, disokong oleh jangkaan peningkatan inflasi makanan.

Ketua Penyelidikannya, Kristina Fong, berkata keseluruhan inflasi kekal tidak berubah pada 0.2 peratus pada separuh pertama 2019 disebabkan terutamanya had siling harga bahan api pengangkutan yang rendah (bermula pada Januari 2019) serta penurunan keseluruhan harga susulan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada Jun 2018.

“Oleh itu, kami secara umumnya menjangkakan keseluruhan inflasi pada separuh kedua 2019 lebih tinggi berbanding separuh pertama 2019, disebabkan terutamanya kesan asas rendah daripada pemansuhan GST tahun lepas, serta jangkaan pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api bersasar lewat tahun ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Fong berkata, kesan asas rendah daripada pemansuhan GST tahun lalu telahpun menyebabkan peningkatan kadar inflasi kepada 1.5 peratus pada Jun 2019 berbanding 0.2 peratus pada Mei 2019, dan aliran tinggi itu dijangka berterusan untuk tempoh ketika.

“Keseluruhan inflasi dijangka mengalami satu lagi peningkatan sebaik sahaja subsidi bahan api bersasar dilaksanakan yang akan menaikkan harga bahan api pengguna ke paras pasaran.

“Berdasarkan kepada anggaran kami, pelaksanaan skin itu akan menaikkan keseluruhan inflasi 2019 sebanyak 0.2 peratus mata berbanding mekanisme subsidi secara menyeluruh,” katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan inflasi tahun penuh berada pada 1.0 peratus, tidak berubah daripada purata tahun penuh pada 2018.

-- BERNAMA

146 dibaca
Berita Harian X