Rabu, 14 Ogos 2019 | 7:41am

Saham teknologi terajui Wall Street

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi selepas pengumuman penangguhan tarif yang dirancang ke atas beberapa import China, mengembalikan pembeli ke pasaran ekuiti.

Saham teknologi, yang terajui Apple Inc mendahului ketiga-tiga indeks utama AS kembali ke wilayah positif susulan pengumuman itu, yang menenangkan ketakutan berhubung perang perdagangan AS-China dan tanda-tanda kemelesetan yang semakin dekat.

Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer, berkata AS akan menangguhkan daripada mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus ke atas barangan utama Cina, termasuk komputer riba dan telefon bimbit, tarif yang pada asalnya ditetapkan akan bermula bulan depan.

Apple, yang dijangkakan meraih manfaat daripada penangguhan pelaksanaan tarif itu, meningkat 4.2 peratus di Nasdaq, sementara Philadelphia SE Semiconductor Index menambah 3.0 peratus.

Dalam berita ekonomi, harga pengguna AS meningkat pada Julai, dengan CPI teras, yang mengeluarkan harga makanan dan tenaga daripada senarainya, berkembang pada kadar 2.2 peratus tahun ke tahun, kenaikan terbesar dalam enam bulan dan jauh melebihi sasaran dua peratus Rizab Persekutuan.

Pembacaan inflasi yang sihat tidak mungkin akan mengubah jangkaan pasaran bahawa Rizab Persekutuan akan membuat satu lagi pemotongan kadar faedah bulan depan ketika mana ia berhadapan perang perdagangan AS-China dan kejatuhan ekonomi.

Dow Jones Industrial Average menokok 372.54 mata atau 1.44 peratus kepada 26,279.91.

S&P 500 naik 42.48 mata atau 1.47 peratus kepada 2,926.23.

Nasdaq Composite menambah 152.95 mata atau 1.95 peratus kepada 8,016.36.

Kesemua 11 sektor utama dalam S&P 500 ditutup dalam wilayah positif.

Sejumlah 7.95 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.34 bilion saham purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X