Rabu, 14 Ogos 2019 | 6:55pm
Bursa Malaysia ubah suai peraturan pasaran derivatif. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ubah suai peraturan pasaran derivatif

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mengubah suai Peraturan dan Arahan Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) dan Bursa Malaysia Derivatives Clearing Bhd (BMDC) bagi meningkatkan kecekapan perniagaan dan fleksibiliti menjalankan perniagaan di pasaran derivatif tempatan, berkuat kuasa 15 Ogos.

Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata, peserta dagangan dan peserta pelepasan akan dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan mereka, sambil perkukuhkan rangka kerja tadbir urus mereka dan menyediakan perlindungan pelabur yang lebih baik.

Ia berkata, Peraturan dan Arahan BMD dan BMDC yang diubah suai itu membabitkan beberapa penambahbaikan, antaranya mengurangkan beban pengawalseliaan dan liberalisasi rangka kerja pengawalseliaan yang memberi kelonggaran kepada peserta dalam mengurus dan mengendalikan perniagaan mereka sambil memastikan perlindungan pelabur dipelihara.

"Perubahan ini akan menguatkan rangka kerja tadbir urus bagi peserta, sekali gus menggalakkan amalan dan pengawalan diri yang lebih baik.

"Ia memberi peraturan yang lebih jelas bagi memudahkan pematuhan.

"Penambahbaikan juga telah dibuat untuk meningkatkan kecekapan dalam proses, keperluan aplikasi dan pelaporan, serta pengurusan BMDC yang lebih baik dalam risiko sistemik dan menangani keadaan seperti situasi kecemasan, secara keluruhan ia mempromosikan perlindungan pelabur dan meningkatkan keyakinan pasaran," katanya.

Bursa Malaysia berkata, peraturan yang diubah suai itu seiring dengan pendekatan seimbang dan pemudahcaranya untuk mempromosikan pembangunan pasaran sambil memastikan objektif pengawalseliaannya dalam mengekalkan integriti pasaran dan perlindungan pelabur tidak terjejas.

"Fleksibiliti dan liberalisasi yang dilaksanakan di bawah perubahan berkenaan akan meningkatkan daya tarikan dan daya saing pasaran derivatif Malaysia.

"Pada masa yang sama, ia diharapkan melalui perubahan ini, piawaian untuk amalan dan tadbir urus peserta akan dipertingkatkan dan konsisten dengan pasaran ekuiti," katanya. - BERNAMA

109 dibaca
Berita Harian X