Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:45am

S&P 500, Dow ditutup tinggi

NEW YORK: S&P 500 dan Dow menokok pada akhir dagangan apabila data jualan runcit yang memberangsangkan mengimbangi kebimbangan kemelesetan di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin memuncak.

Wall Street bergerak turun naik daripada wilayah negatif kepada positif sepanjang sesi dagangan ketika mana pelabur mencerna mesej yang bercampur-campur.

Nasdaq ditutup lebih rendah, ditarik turun kejatuhan dalam saham Cisco Systems Inc.

Walmart Inc pula mengatasi anggaran suku kedua penganalisis dan menaikkan unjuran pendapatan setahun penuh, menjurus kepada saham peruncit terbesar dunia itu menokok sehingga 6.1 peratus dan melegakan kebimbangan berhubung permintaan pengguna yang merosot.

Kebimbangan itu semakin merosot apabila data jualan runcit melepasi jangkaan penganalisis.

Pengguna, yang menyumbang kira-kira 70 peratus kepada ekonomi AS, meningkatkan perbelanjaan mereka pada Julai, demikian menurut Jabatan Perdagangan.

Data ekonomi lain kurang memberangsangkan.

Pengeluaran perkilangan menyusut lebih daripada yang dijangka pada Julai dan tuntutan baharu manfaat pengangguran pula lebih tinggi daripada ramalan ekonomi.

Ketegangan perdagangan AS-China juga kelihatannya tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan reda dalam tempoh terdekat ini.

Perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu dan ekonomi yang kurang rancak mengganggu pasaran global selama berbulan-bulan dan mula memberi kesan kepada pendapatan syarikat.

Ini dapat dilihat pada Cisco Systems, yang mana harga sahamnya menjunam 8.6 peratus selepas melaporkan kejatuhan jualan 25 peratus di China dan menetapkan unjuran jualan dan pendapatan yang jauh di bawah anggaran penganalisis.

Ketegangan perdagangan turut menyebabkan pulangan bon Perbendaharaan 30-tahun AS. ke rekod terendah.

Dow Jones Industrial Average menokok 99.97 mata, atau 0.39 peratus, kepada 25,579.39.

S&P 500 naik tujuh mata, atau 0.25 peratus kepada 2,847.6.

Nasdaq Composite turun 7.32 mata atau 0.09 peratus kepada 7,766.62.

Daripada 11 sektor utama S&P 500, enam ditutup dalam wilayah positif.

Sejumlah 7.72 bilion saham didagangkan berbanding 7.53 bilion purata 20 dagangan sebelumnya. - Reuters

102 dibaca
Berita Harian X