Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:37am
- Gambar hiasan

Wall Street ditutup tinggi

NEW YORK: Wall Street ditutup tinggi berikutan harapan tinggi perbincangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China akan berjalan lancar, walaupun kenaikan dihadkan sebelum penutup susulan kenyataan pegawai China bahawa Beijing meletakkan harapan lebih rendah berhubung rundingan yang akan diadakan minggu ini itu.

Ketiga-tiga indeks saham utama AS ditutup dalam wilayah positif, tetapi menyaksikan penjualan sebelum penutup susulan kenyataan pegawai China bahawa suasana muhibah telah rosak apabila Jabatan Perdagangan AS menyenarai hitam 28 syarikat China minggu ini.

Sentimen pelabur mendapat dorongan awal berikutan laporan Bloomberg mengatakan China tetap terbuka untuk bersetuju dengan perjanjian perdagangan dengan AS, walaupun untuk sebahagian daripadanya.

Secara berasingan, Financial Times berkata Beijing menawarkan untuk meningkatkan pembelian tahunan produk pertanian AS.

"Kesepakatan itu dengan China sekurang-kurangnya akan membuka jalan bagi kesepakatan yang lebih besar pada masa depan," kata Tim Ghriskey, ketua strategi pelaburan di Inverness Counsel di New York.

"Setiap hari kami mendapat ciapan berbeza dan pasaran mengambil arah tuju yang berbeza. Hari ini adalah hari yang menguntungkan."

Dow Jones Industrial Average menokok 182.1 mata atau 0.7 peratus kepada 26,346.14.

S&P 500 naik 26.34 mata atau 0.91 peratus kepada 2,919.4.

Nasdaq Composite menambah 79.96 mata atau 1.02 peratus kepada 7,903.74.

Kesemua 11 sektor utama S & P 500 ditutup lebih tinggi, dengan teknologi dan tenaga menikmati peratusan kenaikan terbesar.

Jumlah dagangan pada bursa AS adalah sebanyak 5.33 bilion saham, berbanding 7.05 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X