Selasa, 29 Oktober 2019 | 12:25pm

Affin Hwang saran 'pegang' saham CIMB

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Capital mengekalkan saranan penarafan ‘pegang’ terhadap Kumpulan CIMB pada harga sasaran tidak berubah RM5.65 sesaham, dengan mengambil kira pemangkin bank itu pada separuh kedua tahun ini adalah terhad.

Pada jam 9.46 pagi, saham CIMB naik tiga sen kepada RM4.98 dengan 1.34 juta saham bertukar tangan.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun (YoY) bagi CIMB berikutan ia meramalkan risiko aliran menurun disebabkan sentimen perniagaan dan pengguna yang lemah, khususnya di Malaysia.

CIMB turut menyemak turun sasaran pertumbuhan pinjamannya kepada antara lima dan enam peratus YoY bagi 2019 daripada enam peratus diunjurkan pada awal 2019.

“Pada pandangan kami, wujud kecenderungan risiko menurun bagi pendapatan menuju ke tahun 2020 berikutan sebarang penyederhanaan dalam pendapatan operasi akan tidak memadai untuk menampung kenaikan perbelanjaan.

“Juga terdapat potensi untuk semakan menurun dalam konsensus 2020 anggaran keuntungan 2021, disebabkan peningkatan perbelanjaan dan kekurangan pemangkin bagi pertumbuhan hasil kasar.

Namun apa yang positif, kualiti aset CIMB dijangka bertambah baik dengan beberapa prospek pemulihan kredit di CIMB Niaga pada 2020.

Setakat ini, CIMB mengekalkan garis panduan mata asasnya 40-50 dalam kos kredit bersih bagi 2019, dengan beberapa prospek pemulihan kredit dijangka pada suku ketiga tahun ini.

-- BERNAMA

Berita Harian X