X
Selasa, 24 March 2020 | 10:36am
BURSA Malaysia
BURSA Malaysia

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dengan kesemua indeks mencatat dagangan lebih positif, didorong oleh sentimen optimis di peringkat global berikutan langkah-langkah bagi menangani impak ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.11 peratus atau 26.57 mata kepada 1,286.49 berbanding 1,259.88 sewaktu ditutup semalam.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 276 berbanding 57 manakala 107 kaunter lain tidak berubah, 1,578 tidak didagangkan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 186.49 juta saham bernilai RM93.88 juta.

Seorang penganalisis berkata, pelabur terus berusaha mencari pakej fiskal dan sokongan bank pusat susulan unjuran ekonomi yang diturunkan di peringkat global selain kebimbangan berterusan akibat impak COVID-19 berkenaan.

“Di Malaysia, pengumuman kerajaan mengenai rancangan mengurangkan kesan ekonomi akibat krisis kesihatan itu yang dibuat semalam telah menyebabkan pelabur berasa lebih lega pada masa ini.

“Mereka turut menunggu pakej rangsangan ekonomi kedua bagi menangani masalah ini,” katanya.

Di peringkat rantau Asia Pasifik, indeks penanda aras itu sekurang-kurangnya meningkat satu peratus di Tokyo, Seoul dan Sydney selepas gelombang inisiatif lebih besar daripada rizab persekutuan masing-masing ternyata membantu mengurangkan beberapa risiko kredit korporat.

Bloomberg melaporkan bahawa pelabur juga menunggu perkembangan rundingan kongres Amerika Syarikat (AS) membabitkan pakej fiskal.

Dalam pada itu, mata wang global juga menunjukkan tanda-tanda optimis apabila yen naik 0.3 peratus berbanding dolar AS, euro menokok 0.4 peratus berbanding dolar AS kepada AS$1.0764, pound Britain meningkat pada AS$1.1585 dan yuan di luar pesisir China pada 7.1093 berbanding dolar AS iaitu kenaikan sebanyak 0.2 peratus .

Dari segi prestasi minyak, paras harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global telah meningkat kepada AS$29.93 setong, namun, penganalisis berkata syarikat gergasi minyak di seluruh dunia bersedia untuk berdepan senario paling buruk iaitu harga minyak menjunam ke paras AS$10 setong.

Sementara itu di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank naik 14 sen kepada RM7.26, Tenaga untung 12 sen kepada RM12.02, Public Bank menokok RM1.04 kepada RM14.94, Petronas Chemicals menambah 14 sen kepada RM4.41 dan MISC meraih 10 sen kepada RM7.50.

Bagi saham aktif, kaunter berkaitan minyak dan gas terus mendominasi dengan Sapura Energy naik satu sen kepada lapan sen manakala Hibiscus meningkat 2.5 sen kepada 31 sen dan Perdana menambah setengah sen kepada 12.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 179.71 mata kepada 8,681.36 manakala FBM 70 melonjak 194.94 mata kepada 9,547.85 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 120.18 mata kepada 9,448.42.

Indeks FBMT 100 pula menokok 177.96 mata kepada 8,636.07 dan FBM Ace naik 93.60 mata kepada 3,445.54.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 1.70 mata kepada 96.83, Indeks Perladangan naik 12.88 mata kepada 5,743.58 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 386.14 mata kepada 11747.73.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X