X
Jumaat, 27 March 2020 | 2:17am
Bangunan Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Bangunan Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.

COVID-19: Bursa Malaysia umum tujuh langkah bantuan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd Mengumumkan Tujuh Lagi Langkah Bantuan Yang Disasarkan Kepada Kumpulan Peserta Yang Lebih Luas Dalam Pasaran Modal.

Langkah itu diwujudkan untuk membantu mengurangkan beban kewangan dan memberikan kelonggaran yang lebih banyak dalam menempuh waktu mencabar ketika COVID-19, katanya dalam satu kenyataan.

Antara langkah utama termasuk lanjutan satu bulan automatik untuk menyerahkan penyata kewangan untuk Pasaran Utama dan ACE dan rebat sebanyak 50 peratus daripada yuran penyenaraian tahunan untuk terbitan yang disenaraikan bagi tahun 2020.

Bursa Malaysia berkata ia membenarkan pelanjutan tempoh masa untuk mengemukakan pelan penyusunan semula daripada 12 bulan yang sedia ada hingga 24 bulan dari tarikh mereka umumkan buat pertama kali.

Bursa Malaysia akan memberi lebih banyak kelonggaran kepada broker dengan menghapuskan keperluan itu untuk secara automatik mencairkan akaun margin pelanggan mereka jika ekuiti dalam akaun margin jatuh di bawah 130 peratus daripada baki belum jelas.

Bursa Malaysia juga memperluaskan senarai cagaran untuk tujuan pembiayaan margin, waktu perkhidmatan kaunter yang dipendekkan oleh peserta pasaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membenarkan lanjutan masa untuk penyerahan borang urusniaga perkhidmatan depositori pusat (CDS) kepada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata penularan COVID-19 telah berkembang pantas daripada menjadi isu kesihatan awam sehingga mengakibatkan cabaran ekonomi yang serius.

“Kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meringankan beban dan membantu syarikat-syarikat dan peserta pasaran yang menerima kesan secara langsung oleh krisis berkenaan.

“Kami akan bersama peserta pasaran modal untuk memastikan usaha kami berkesan. Kami mensasarkan untuk membantu para peserta pasaran menghadapi perubahan mendadak dalam keadaan operasi atau aliran tunai mereka, sambil menyokong usaha negara untuk mengurangkan impak ekonomi dan sosial pandemik COVID-19, ” kata Umar.

Langkah-langkah yang diumumkan itu melengkapkan usaha bantuan yang lebih luas di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) yang diumumkan oleh kerajaan pada 27 Februari 2020.

Di bawah PRE 2020, kedua-dua Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia bersetuju untuk mengecualikan semua yuran yang berkaitan dengan penyenaraian selama 12 bulan, kepada syarikat-syarikat yang mahu disenaraikan di ACE dan Pasaran LEAP, serta bagi syarikat di Pasaran Utama, dengan permodalan pasaran kurang daripada RM500 juta.

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah bantuan ini boleh diperolehi di https://www.bursamalaysia.com/. - Bernama

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X