Jumaat, 3 April 2020 | 12:43pm

Aliran masuk dana asing RM11 bilion tahun lalu - Bank Negara

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan aliran masuk dana asing bersih berjumlah RM11 bilion tahun lalu.

Dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 yang dikeluarkan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM), berkata aliran masuk dana asing bagi fasa pertama pada suku pertama berjumlah RM13.5 bilion disebabkan pengambilan risiko oleh pelabur.

Katanya, pada fasa kedua merangkumi suku kedua dan ketiga, Malaysia mencatat aliran keluar mencecah RM13 bilion susulan langkah penghindaran risiko.

“Pada fasa ketiga iaitu suku keempat tahun lalu, pelabur kembali mengambil risiko menyaksikan aliran masuk kembali ke pasaran berjumlah RM10.6 bilion,” katanya.

BNM berkata, pasaran kewangan Malaysia mengalami aliran portfolio dua hala yang ketara pada tahun 2019, mencerminkan keadaan global, dan sedikit sebanyak faktor domestik.

Katanya, berlatarkan persekitaran global yang tidak menentu ini, berlaku ketidaktentuan dalam aliran modal global, didominasi terutamanya oleh aktiviti penghindaran risiko pada 2019.

“Selanjutnya, risiko khusus bagi negara tertentu seperti rundingan Brexit yang berpanjangan serta pergolakan politik di Hong Kong dan Amerika Latin, menghasilkan beberapa episod pergerakan aliran modal dan kadar pertukaran yang mendadak, disebabkan oleh tahap ketidakpastian yang meningkat dan sentimen pelabur yang lemah.

“Keadaan ini menambahkan lagi aktiviti penghindaran risiko global, yang mendorong permintaan yang berterusan untuk aset selamat seperti dolar AS dan emas, serta kelas aset kewangan yang lebih terjamin seperti bon kerajaan, dan menyebabkan kebalikan aliran modal daripada ekonomi sedang pesat membangun,” katanya.

Sementara itu, paras rizab antarabangsa dalam dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak AS$2.2 bilion (RM9.6 bilion) kepada AS$103.6 bilion (RM451.9 bilion) pada akhir tahun 2019.

Bank pusat menjelaskan, penambahan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh pulangan pelaburan yang positif bagi aset rizab bank yang berjumlah AS$5.4 bilion (RM23.6 bilion) tahun lalu, serta terbitan Bon Samurai 10 tahun oleh kerajaan yang berjumlah JPY200 bilion (RM7.9 bilion).

“Walaupun pasaran kewangan tidak menentu, ringgit mengakhiri tahun itu dengan menambah nilai berbanding dengan dolar AS dan sekumpulan mata wang yang berwajaran bagi rakan perdagangan utama Malaysia,” katanya.

Berita Harian X