Jumaat, 3 April 2020 | 2:16pm

Bursa Malaysia rendah pada sesi tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini apabila sentimen pasaran dibayangi oleh prospek ekonomi kurang memberangsangkan bagi 2020.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan hari ini berkata, kesan daripada pandemik COVID-19 akan membawa impak besar ke atas ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka turun kepada antara paras -2.0 dan 0.5 peratus pada 2020 berbanding 4.3 peratus tahun lalu.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.51 mata atau 0.41 peratus kepada 1,325.39 daripada paras penutup 1,330.90 pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 0.66 mata lebih kukuh kepada 1,331.56 dan bergerak antara paras 1,325.36 dan 1,333.82 sepanjang sesi pagi.

Suasana pasaran terus kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 457 berbanding 231, manakala 328 kaunter tidak berubah, 905 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 3.47 bilion saham bernilai RM1.35 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata penurunan di Bursa Malaysia juga disertai dengan aktiviti pengambilan untung segera.

“Kami melihat kemunculan momentum belian dalam saham tenaga di tengah-tengah pemulihan harga minyak mentah,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam nota berasingan hari ini, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata harga minyak mentah global melonjak 22.1 peratus selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan beliau menjangka Russia dan Arab Saudi akan bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak kira-kira 10 juta tong dan mungkin lebih besar lagi.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan susut RM1.20 kepada RM20.50, Sime Darby Plantation berkurangan 12 sen kepada RM4.63, Public Bank turun 20 sen kepada RM15.60, Nestle jatuh RM1.60 kepada RM136.20 dan IHH susut empat sen kepada RM5.02.

Nestle dan Petronas Dagangan juga menerajui senarai kaunter rugi utama di bursa tempatan.

Kaunter untung utama termasuklah Panasonic Manufacturing Malaysia, yang naik 28 sen kepada RM26.56, Hartalega yang meningkat 14 sen kepada RM6.94 dan PMB Technology yang menokok 13 sen kepada RM2.88.

Kaunter paling cergas terus didominasi oleh saham berkaitan minyak dan gas. Hibiscus naik 1.5 sen kepada 44.5 sen, Sapura Energy dan KNM meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 9.5 sen dan 14.5 sen manakala Velesto dan Armada tidak berubah masing-masing pada 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 40.19 mata kepada 9,145.56, Indeks FBM Emas Shariah turun 40.77 mata kepada 10,017.16 manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 36.76 mata kepada 9,059.77.

FBM 70 susut 39.58 mata kepada 10,705.18 dan FBM Ace turun 91.37 mata kepada 3,875.11.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.32 mata kepada 104.57, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.37 mata kepada 12,052.62 dan Indeks Perladangan berkurangan 84.39 mata kepada 6,041.89.

-BERNAMA

Berita Harian X