Isnin, 6 April 2020 | 10:32am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini, mendapat rangsangan daripada aktiviti belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui Maybank, Genting, PetChem dan TNB.

Meskipun meningkat sedikit, penganalisis masih menjangkakan keadaan turun naik bagi pasaran serantau hari ini termasuk Bursa Malaysia, dengan paras sokongan dijangkakan pada 1,320.

Pada 9.12 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.24 mata atau 0.16 peratus kepada 1,332.89 daripada paras penutup 1,330.65 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks utama itu dibuka 1.96 mata lebih kukuh kepada 1,332.61.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 196 berbanding 53 manakala 172 kaunter tidak berubah, 1,500 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 192.26 juta bernilai RM49.03 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan berkata beberapa petunjuk ekonomi dijangka diumumkan yang mungkin terus menjejaskan sentimen ekuiti global susulan kurangnya kemajuan positif berkaitan situasi COVID-19.

“Kami merasakan FBM KLCI mungkin terus rendah tetapi masih dalam jajaran antara zon penstabilan, pada paras 1,300 dan1,350. Namun sekiranya gagal bertahan di paras fizikal 1,300, paras sokongan dijangkakan berada pada 1,250,” katanya.

Sementara itu Rakuten Trade berkata, situasi di Amerika Syarikat (AS) semakin buruk apabila bilangan orang yang dijangkiti melonjak tinggi dan ini mungkin memaksa Presiden Donald Trump mengambil langkah kawalan keluar dan masuk yang akan menjejaskan lagi Wall Street.

Di dalam negara, Bank Negara Malaysia pada Jumaat mengeluarkan tiga laporan iaitu, Laporan Tahunan 2019, Tinjuan Ekonomi dan Monetari 2019 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019.

Menerusi laporannya, bank pusat mengunjurkan keluaran dalam negara kasar Malaysia berada antara -2.0 dan 0.5 peratus tahun ini (2019:4.3 peratus), manakala keseluruhan inflasi diunjurkan berada dalam jajaran -1.5 hingga 0.5 peratus pada 2020 (2019:0.7 peratus), mencerminkan terutamanya harga komoditi dan minyak dunia yang rendah.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga meningkat empat sen setiap satu masing-masing kepada RM7.44 dan RM11.96, manakala Public Bank naik dua sen kepada RM15.72 dan IHH susut satu sen kepada RM5.10.

Kaunter paling cergas terus didominasi oleh sektor berkaitan teknologi, tenaga dan telekomunikasi.

Lambo dan Nexgram tidak berubah setiap satu masing pada satu sen, Hibiscus Petroleum naik dua sen kepada 47 sen dan Velesto naik satu sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 29.47 mata kepada 9,204.85, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 28.60 mata kepada 10,090.05 manakala Indeks FBMT 100 naik 22.18 mata kepada 9,110.84.

FBM 70 naik 54.64 mata kepada 10,764.70 dan FBM Ace meningkat 39.78 mata kepada 3,857.09.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.39 mata kepada 105.63, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 28.76 mata kepada 12,080.75 dan Indeks Perladangan menokok 30.65 mata kepada 6,170.29.

–BERNAMA

Berita Harian X