Isnin, 6 April 2020 | 11:58am
Gambar hiasan: Pengurup wang di sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
Gambar hiasan: Pengurup wang di sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

Ringgit dijangka meningkat semula, dolar AS mulai lemah

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meningkat semula di tengah-tengah pasaran mata wang global yang tidak menentu ketika ini.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed, berkata dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka terus lemah pada suku selanjutnya.

Ia berikutan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengurangkan kadar faedah penanda arasnya kepada hampir sifar dan berjanji untuk meningkatkan pegangan bonnya sekurang-kurangnya AS$700 bilion.

Beliau berkata, Fed mengambil langkah seumpama itu untuk menyelamatkan ekonomi AS daripada mengalami kemerosotan akibat COVID-19.

“Jika anda melihat isu terkini dalam majalah Forbes, ia jelas menunjukkan dolar US merosot.

“Persoalan dalam kalangan pelabur ialah: Adakah dolar AS juga dilihat ke arah penyusutan?” katanya.

Shan berkata, sejak 17 hari lalu, dolar AS adalah lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama berikutan ia menyusut berbanding pound Britain (6.95 peratus), dolar Kanada (2.83 peratus), yuan China (0.70 peratus) dan ringgit (1.83 peratus).

Pada Mac tahun ini, Fed dilapor akan membeli bon Perbendaharaan, selepas 250 minggu berturut-turut tidak membeli setelah ia sebelum mengetatkan dasar monetari, justeru mendorong kepada spekulasi bahawa pelonggaran kuantitatif keempat (QE4) sudah bermula.

Dalam bahasa yang mudah difahami, Shan menjelaskan bahawa QE adalah keadaan yang mana bank pusat menyuntik wang baharu terhadap ekonomi dengan membeli bon perbendaharaan AS.

Fed sebelum ini melalui tiga fasa pembelian bon pada 2013 dan 2014 dan sehubungan itu, QE4 akan menjadi fasa yang terbaru.

“Pasaran yakin bahawa Fed mahu merendahkan dolar bagi suku yang berbaki untuk menyediakan rangsangan kepada unjuran ekonomi yang menuju ke arah kemelesetan.

“Pasaran tidak begitu yakin bahawa Fed akan berjaya kali ini dan dolar juga dilihat ke arah penyusutan,” kata Shan.

Beliau berkata yuan China telah bergerak daripada 6.92 kepada 7.15 dalam tempoh 31 hari.

“Pergerakan yuan mencerminkan sebahagian besar daripada pelarasan pasaran mata wang dan campur tangan bank-bank pusat. Ia seperti perang harga di mana-mana sahaja.

“Semua bank pusat mahu mengekalkan mata wang mereka kepada paras yang rendah atau dalam mod penyusutan untuk merangsang pertumbuhan dan mengekalkan momentum ekonomi berikutan pemboleh ubah eksogen menjadikan ekonomi terdedah kepada kelembapan,” katanya.

Shan berkata, ringgit menuruti pergerakan yuan China dan prospek harga minyak.

Memandangkan kedua-duanya adalah positif dan menuju ke arah peningkatan, beliau berkata ini akan menjurus kepada kenaikan nilai ringgit.

Beliau berkata, pasaran minyak dilihat mengalami turun naik yang terbesar sejak 5 Mac 2020 dengan merosot 50 peratus daripada AS$50 setong kepada AS$24 setong berikutan perang harga di antara anggota OPEC+.

Menurut Shan, harga minyak mentah Brent kembali meningkat dan dijangka naik 36 peratus sejak tujuh hari lalu selepas Presiden AS, Donald Trump berbincang dengan Russia dan Arab Saudi untuk mengurangkan pengeluaran.

Konsensus itu dicapai oleh kebanyakan peserta utama untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 15,000 tong sehari.

Arab Saudi telah menggesa diadakan mesyuarat segera bagi OPEC untuk memuktamadkan perjanjian bagi mengurangkan pengeluaran minyak mentah dalam kalangan semua ahli.

Ditanya sama ada faktor di peringkat tempatan boleh menyebabkan ringgit menyusut, Shan berkata, beliau mengakui bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) sudah melakukan yang terbaik untuk menyokong ringgit.

“BNM telah melakukan yang terbaik buat masa ini dalam menguruskan dan mengekalkan kestabilan ringgit, setakat ini. BNM masih mempunyai dasar untuk mendorong pertumbuhan trajektori dan boleh melakukannya apabila perlu.

“Secara keseluruhannya, BNM telah menguruskan dengan baik dalam pasaran kewangan,” kata beliau.

Shan berkata, beliau optimis bahawa ringgit akan bergerak antara 3.97 dan 4.30 berbanding dolar AS pada 2020 dan mengekalkan kestabilan struktur dalam kalangan negara ASEAN. - Bernama

Berita Harian X