X
Isnin, 6 April 2020 | 2:22pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia kekal tinggi tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup tinggi pada tengah hari ini mendapat sokongan daripada sentimen pasaran yang positif berikutan peluang dalam pasaran terutamanya dalam kaunter minyak dan gas, kata seorang penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4,66 mata, atau 0.35 peratus kepada 1,335.31 daripada paras penutup 1,330.65 pada Jumaat.

Indeks utama itu dibuka kukuh naik 1.96 mata kepada 1,332.61 dan bergerak antara paras 1,324.43 dan 1,335.77 sepanjang sesi dagangan pagi.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 512 berbanding 207, manakala 300 kaunter tidak berubah, 902 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.83 bilion saham bernilai RM1.13 bilion.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ura-ura kemungkinan pengurangan pengeluaran minyak dalam kalangan pengeluar utama, Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi dan Rusia mungkin menarik minat terhadap sektor itu.

“Begitu juga, dalam sektor teknologi yang mana kita boleh melihat jualan semikonduktor Global mencatatkan pertumbuhan lima peratus pada Februari selepas mengalami penguncupan lebih daripada setahun,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat 23 sen kepada RM7.63, Public Bank naik 18 sen kepada RM15.88, Axiata dan Genting Malaysia menokok empat sen setiap satu masing-masing kepada RM3.24 dan RM2.07.

Kaunter untung utama termasuklah Dutch Lady yang naik 98 sen kepada RM43.98, Panasonic yang meningkat 70 sen kepada RM27.00 dan United Plantation yang menambah 24 sen kepada RM24.94.

Kaunter paling cergas terus didominasikan oleh saham berkaitan minyak dan gas dengan Hibiscus meningkat empat sen kepada 49 sen dan Sapura Energy naik satu sen kepada 10.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 52.05 mata kepada 9,227.43, Indeks FBM Emas Shariah naik 21.47 mata kepada 10,082.92 manakala Indeks FBMT 100 menokok 43.60 mata kepada 9,132.25.

FBM 70 melonjak 100.31 mata kepada 10,810.37 dan FBM Ace menokok 75.42 mata kepada 3,892.73.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.38 mata kepada 105.62, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 153.29 mata kepada 12,205.28 tetapi Indeks Perladangan susut 48.24 mata kepada 6,091.40.

-BERNAMA

Berita Harian X