Isnin, 6 April 2020 | 7:36pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Pakej Prihatin PKS lonjak Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini apabila kerajaan mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meringankan beban kewangan berikutan impak pandemik COVID-19.

Pada 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.04 mata atau 0.83 peratus kepada 1,341.69 daripada 1,330.65 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Indeks itu dibuka 1.96 mata lebih kukuh pada 1,332.61 dan bergerak di antara 1,324.43 denga 1,343.05 sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 738 berbanding 183, manakala 281 kaunter tidak berubah, 719 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.98 bilion saham bernilai RM2.60 bilion daripada 5.34 bilion saham bernilai RM2.48 bilion yang dicatatkan pada Jumaat minggu lalu.

Semasa pengumumkan pakej itu hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKS adalah tunjang utama ekonomi negara dengan menyumbang lebih dua per tiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini dan hampir 40 peratus kepada ekonomi.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ia akan membantu mengurangkan beban kewangan mereka yang terjejas susulan Perintah Kewalan Pergerakan berkuat kuasa berikutan wabak COVID-19

“Kehilangan pendapatan adalah kesan serta-merta, jadi kerajaan berusaha meredakan impak tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, langkah itu juga akan meningkatkan perbelanjaan dalam talian melalui platform digital serta membantu merangsangkan ekonomi, terutama dalam sektor perbankan.

"Persoalannya sekarang bagaimana bantuan kewangan ini disalurkan,” katanya.

Sementara itu, saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank meningkat 25 sen kepada RM7.65, Tenaga menambah 18 sen kepada RM12.10, Public Bank menokok 20 sen kepada RM15.90 dan IHH naik satu sen kepada RM5.03.

Petronas Dagangan dan Sime Darby Plantation adalah antara saham paling rugi di bursa tempatan selepas masing-masing susut 40 sen kepada RM20.10, dan 12 sen kepada RM4.65.

Saham paling untung didahului Dutch Lady, yang melonjak 50 sen kepada RM43.50, diikuti Panasonic Manufacturing Malaysia meningkat 32 sen kepada RM26.98 dan United Plantation naik 22 sen pada RM24.92.

Kaunter yang paling aktif terus dikuasai oleh saham berkaitan tenaga susulan spekulasi bahawa perang harga minyak mentah di antara Arab Saudi dengan Rusia akan berakhir.

Hibiscus Energy naik enam sen kepada 51 sen, Sapura Energy menokok satu sen kepada 10.5 sen manakala Bumi Armada menambah satu sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 99.81 mata kepada 9,275.19, Indeks FBMT 100 menambah 88.52 mata kepada 9,177.18 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 80.60 mata kepada 10,142.05.

FBM 70 melonjak 158.70 mata kepada 10,868.76 dan FBM Ace meningkat 152.82 mata kepada 3,970.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 192.31 mata kepada 12,244.30, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.70 mata kepada 105.94 namun Indeks Perladangan turun 6.99 mata kepada 6,132.65.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 4.56 bilion saham bernilai RM2.36 bilion daripada 4.66 bilion saham bernilai RM2.33 bilion yang dicatatkan pada Jumaat minggu lalu.

Waran pula mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 391.84 juta unit bernilai RM94.73 juta berbanding 296.16 juta unit bernilai RM70.81 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 1.02 bilion saham bernilai RM152.38 juta daripada 383.85 juta saham bernilai RM81.30 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 443.50 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (514.28 juta), pembinaan (526.52 juta), teknologi (319.95 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.76 juta), hartanah (332.00 juta), perladangan (138.05 juta), REIT (9.85 juta), dana tertutup (9,200), tenaga (2.01 bilion), penjagaan kesihatan (34.16 juta), telekomunikasi dan media (58.44 juta), pengangkutan dan logistik (87.31 juta) serta utiliti (29.42 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X