Isnin, 6 April 2020 | 8:28pm
Ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama
Ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan pemangkin baharu, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang ini, ringgit berada pada paras 4.3600/3700 berbanding dolar AS daripada 4.3520/3620 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata kebimbangan membabitkan pemulihan ekonomi negara selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah kerajaan baharu serta penyusutan harga minyak adalah antara faktor yang mempengaruhi sentimen pelabur.

“Ketidaktentuan membabitkan mesyuarat OPEC (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum) adalah sesuatu yang negatif untuk ringgit sekiranya tiada sebarang persetujuan dapat dicapai dan ini akan hanya memberi tekanan kepada kedudukan fiskal Malaysia.

“Oleh itu, semua perhatian kini tertumpu kepada mesyuarat OPEC + yang dijalankan secara maya atau dalam talian," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, mesyuarat tergempar antara negara-negara OPEC and bukan OPEC yang dijadualkan hari ini juga berkemungkinan ditunda kepada 8 April atau 9 April ini membabitkan perbalahan antara pengeluar utama Arab Saudi dan Rusia mengenai pihak mana yang menjadi punca kejatuhan harga minyak.

Setakat ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global susut 3.69 peratus kepada AS$32.85 setong.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.9919/0015 daripada 4.0118/0221 pada Jumaat dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0417/0498 daripada 3.0319/0399, sebelum ini.

Ia juga susut berbanding euro kepada 4.7132/7248 daripada 4.7049/7175 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3619/3751 daripada 5.3495/4631.

-BERNAMA

Berita Harian X