Selasa, 7 April 2020 | 10:36am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini didorong sambutan baik pelabur terhadap pengumuman Pakej Prihatin PKS (Tambahan) RM10 bilion oleh kerajaan semalam yang disasarkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Pada 9.01 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.32 mata atau 1.06 peratus kepada 1,356.01 daripada 1,330.65 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 13.82 mata lebih kukuh pada 1,355.51.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 417 berbanding 33, manakala 120 kaunter tidak berubah, 1,351 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 256.46 juta bernilai RM87.31 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi kenyataan hari ini berkata, bursa tempatan mencatatkan prestasi lebih baik berbanding jangkaan semalam memandangkan indeks utama ditutup tinggi susulan jumlah kes positif COVID-19 yang berkurangan.

Ia berkata, ditambah pula dengan langkah-langkah rangsangan ekonomi tambahan oleh kerajaan untuk meredakan kesan wabak itu ke atas PKS.

“Begitu juga negara lain yang melaporkan kadar jangkitan yang perlahan pada hujung minggu, namun ia juga menunjukkan bahawa jangkitan virus itu mungkin mulai meningkat susulan banyak negara memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung.

“Berdasarkan keadaan pasaran yang mula kembali lebih baik, kami menjangkakan FBM KLCI cuba menjejaki kenaikan di seluruh papan dengan indeks utama itu mungkin menguji semula paras 1,350,” menurut Malacca Securities.

Sekiranya ia meningkat melepasi paras terbabit, indeks utama dijangka mengalami pemulihan seterusnya dengan menyasarkan paras masing-masing 1,400 dan 1,455, menurutnya.

Firma pembrokeran itu menetapkan paras sokongan pada 1,300.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM7.81,

Tenaga menambah dua sen kepada RM12.12, Public Bank meningkat 14 sen kepada RM16.04 dan IHH menokok sembilan sen kepada RM5.12.

Syarikat minyak dan gas; Sapura Energy, Bumi Armada dan Hibiscus Petroleum muncul sebagai tiga kaunter teratas paling aktif diniagakan dengan masing-masing menambah setengah sen; setengah sen dan dua sen kepada 11 sen, 18 sen dan 53 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 107.85 mata kepada 9,383.05, Indeks FBM Emas Syariah menokok 105.59 mata kepada 10,247.64 manakala Indeks FBMT 100 naik 107.94 mata kepada 9,285.12.

FBM 70 melonjak 169.47 mata kepada 11,038.23 dan FBM Ace naik 97.25 mata kepada 4,067.38.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.45 mata kepada 107.39, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 161.38 mata kepada 12,405.68 dan Indeks Perladangan naik 6.51 mata kepada 6,139.16.

-BERNAMA

Berita Harian X