Rabu, 22 April 2020 | 11:04am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Prospek ekonomi jejas Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kebimbangan yang meningkat mengenai prospek ekonomi global yang mendorong lebih banyak aktiviti jualan secara menyeluruh, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 16.21 mata kepada 1,365.25 daripada 1,381.73 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks utama dibuka rendah 15.33 mata kepada 1,366.40.

Suasana pasaran lemah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 531 berbanding hanya 44, manakala 151 kaunter tidak berubah, 1,185 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 587.34 juta saham bernilai RM213.86 juta.

Malacca Securities berkata, saham di Bursa Malaysia akan menyaksikan kemerosotan di bawah keadaan pasaran semasa yang tidak menentu berikutan kejatuhan harga minyak mentah dan prospek pendapatan yang tidak menarik susulan persekitaran ekonomi global dan tempatan yang lembap.

“Dengan indeks utama dilihat rendah sejajar dengan ekuiti global dan paras sokongan 1,400 gagal dikekalkan, paras sokongan 1,370 menjadi aktif, diikuti paras 1,340. Pada masa sama, sebarang peningkatan dihadkan pada paras 1,420 buat masa ini.

“Dijangka saham berharga rendah dan saham pasaran lebih luas berhenti seketika daripada pemulihan berikutan pelabur mengambil keuntungan baru-baru ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu menjangka keadaan pasaran akan terus turun naik pada masa depan berikutan kekurangan petunjuk baharu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing susut sembilan sen kepada RM7.47 dan RM5.04, TNB merosot dua sen kepada RM12.48, Public Bank berkurangan 10 sen kepada RM15.64 dan Petronas Chemicals turun 20 sen kepada RM5.10.

Daripada saham aktif, Sapura Energy susut setengah sen kepada 8.5 sen, Velesto energy merosot satu sen kepada 14 sen, Hibiscus Petroleum berkurangan 1.5 sen kepada 41 sen manakala Xidelang tidak berubah pada tujuh sen.

Indeks FBM Emas susut 116.05 mata kepada 9,482.48, Indeks FBM Emas Shariah merosot 121.04 mata kepada 10,482.26, manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 109.57 mata kepada 9,373.38. FBM 70 susut 124.25 mata kepada 11,239.23 dan FBM Ace merosot 97.15 mata kepada 4,217.55.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 2.53 mata kepada 113.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 174.32 mata kepada 12,279.72 manakala Indeks Perladangan berkurangan 43.10 mata kepada 6,139.29.

-BERNAMA

Berita Harian X