Rabu, 20 Mei 2020 | 1:41pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Pelabur runcit sokong pasaran saham tempatan

KUALA LUMPUR: Peningkatan penyertaan pelabur runcit ketika ini membantu mengekalkan kestabilan pasaran saham tempatan di tengah-tengah pengaliran keluar dana asing.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata penyertaan kukuh pelabur runcit dalam pasaran saham tempatan kebelakangan ini didorong oleh persekitaran kadar faedah yang rendah dan aktiviti memburu saham murah yang mempunyai prospek cerah.

Katanya, secara keseluruhan, penyertaan pelabur runcit meningkat sebanyak 62 peratus berbanding purata pada 2019.

"Pelabur runcit menyumbang sebahagian besar dari segi penyertaan pasaran dalam bursa tempatan kebelakangan ini.

"Justeru, bursa tempatan menyaksikan peningkatan dalam jumlah dagangan harian (mencecah paras rekod)," katanya pada taklimat media secara maya mengenai tinjauan pasaran tempatan.

Pada Isnin lalu, jumlah dagangan di bursa tempatan mencapai paras rekod tertinggi dalam sejarah berjumlah 11.21 bilion unit bernilai RM4.40 bilion disokong peningkatan dalam saham berkaitan minyak dan gas.

Mengulas mengenai aliran dana asing, Yee berkata, pengaliran dana asing akan berterusan, namun pasaran tempatan masih menarik dari segi penilaian yang wajar serta ketidaktentuan yang rendah.

Beliau berkata, perbezaan kadar faedah yang menarik antara Malaysia dan negara serantau lain akan menggalakkan aliran masuk dana asing, sekali gus memberi kesan limpahan ke dalam ekuiti.

"Indeks FBM KLCI akan menutup 2020 pada paras 1,400 mata. Pertumbuhan pendapatan 2020 akan kekal tidak menentu tetapi pelabur sudah melihat ke arah 2021," katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan supaya pelabur kekal berhati-hati memandangkan pasaran sangat mudah terkesan dengan berita negatif, yang akan mencetuskan penjualan besar-besaran.

Mengulas mengenai ringgit, Yee berkata, pihaknya mengunjurkan dolar Amerika Syarikat (AS) kekal dalam turun naik tidak menentu dengan lebih ke arah aliran menurun memandangkan aktiviti percetakan mata wang itu.

Justeru, beliau berkata, Rakuten Trade melihat ringgit akan mengukuh berbanding dolar AS, tetapi terhad oleh harga minyak mentah yang rendah.

"Secara keseluruhan, kami jangka ringgit berada dalam aliran antara RM4.20/RM4.25 sedolar menjelang akhir tahun. Kadar faedah yang menarik akan menarik aliran masuk dana asing di tengah-tengah pelebaran hasil berbanding negara serantau lain," katanya.

Yee berkata, saham yang menarik untuk diberi perhatian ketika ini ialah berkaitan utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd, sementara saham yang perlu dikurangkan perhatian adalah berkaitan hartanah dan automotif.

Berita Harian X